BISNES
Bursa Malaysia dibuka tinggi walaupun prestasi Wall Street lemah

Pada 9.05 pagi ini, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 6.45 mata atau 0.41 peratus kepada 1,569.69 daripada paras 1,563.24, semalam. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan urus niaga hari ini dengan lebih positif meskipun prestasi semalaman Wall Street lemah, menjelang pengumuman data inflasi Amerika Syarikat (AS) akhir minggu ini yang dijangka ramai bakal menentukan pendirian Rizab Persekutuan (Fed) untuk menurunkan kadar faedah negara maju itu.
Ringkasan AI
- Bursa Malaysia dibuka lebih positif dengan FBM KLCI naik 6.45 mata kepada 1,569.69, disokong oleh sentimen pasaran yang baik walaupun Wall Street lemah.
- Lanjutan tempoh tarif AS terhadap China selama 90 hari dilihat sebagai pemangkin positif kepada pasaran domestik, dengan jangkaan Fed akan menurunkan kadar faedah bergantung kepada data inflasi AS.
- Saham wajaran tinggi dan paling aktif menunjukkan prestasi bercampur, manakala indeks sektor utama seperti kewangan dan perladangan mencatat kenaikan.
Sentimen pasaran adalah positif dengan kaunter untung mengatasi rugi iaitu 125 berbanding 88 manakala 238 kaunter lain tidak berubah, sebanyak 2,070 tidak diniagakan dan lapan lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 144.19 juta saham bernilai RM49.14 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata seperti dijangkakan, AS telah melanjutkan tarikh akhir tarif terhadap China selama 90 hari lagi.
"Hasil bon 10 tahun AS susut sedikit kepada 4.279 peratus. Di Hong Kong, Indeks Hang Seng ditutup tinggi walaupun dalam sesi dagangan suram berikutan sentimen yangkekal berhati-hati menjelang tamatnya tempoh akhir penangguhan tarif AS ke atas China hari ini," katanya kepada Bernama.
Di peringkat domestik, beliau menyifatkan lanjutan tempoh tarikh akhir tarif AS terhadap China sebagai pemangkin positif, malah yakin Washington pada akhirnya akan berlembut dengan Beijing.
"Oleh itu, kami menjangkakan indeks utama Bursa Malaysia dalam julat 1,555-1,570 hari ini," katanya.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank naik 6.0 sen kepada RM9.71, CIMB meraih 2.0 sen kepada RM6.96, Tenaga Nasional dan IHH Healthcare masing-masing susut 2.0 sen kepada RM13.64 dan RM6.94 manakala Public Bank tidak berubah pada RM4.40.
Bagi saham paling aktif, Classita naik 1.5 sen kepada 10.5 sen, NexG meraih 2.5 sen kepada 40 sen, Pharmaniaga dan Magma masing-masing menokok setengah sen kepada 18.5 sen dan 40 sen manakala TWL kekal tidak berubah pada 2.5 sen.
Di pasaran meluas, Indeks FBM Emas menambah 34.18 mata kepada 11,681.31, Indeks FBMT 100 naik 34.22 mata kepada 11,463.94, Indeks FBM Emas Shariah melonjak 34.49 mata kepada 11,682.16 manakala Indeks FBM ACE turun 0.01 mata kepada 4,620.21 dan Indeks FBM 70 turun 7.22 mata kepada 16,588.42.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 58.89 mata kepada 17,786.72, Indeks Perladangan menokok 52.95 mata kepada 7,517.03, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.52 mata kepada 159.30 manakala Indeks Tenaga meraih 1.64 mata kepada 737.0.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami