Skip to main content

Malaysia

Shuhaily janji lindungi pegawai AKPS 'lawan arus' demi integriti

Mohd Shuhaily menyifatkan keberanian pegawai wanita berbangsa India itu sebagai satu tindakan yang wajar dihargai, selain menjadi titik permulaan kepada perubahan budaya kerja dan integriti dalam AKPS. -Gambar Shahir Onar/Astro AWANI
Mohd Shuhaily menyifatkan keberanian pegawai wanita berbangsa India itu sebagai satu tindakan yang wajar dihargai, selain menjadi titik permulaan kepada perubahan budaya kerja dan integriti dalam AKPS. -Gambar Shahir Onar/Astro AWANI

Ringkasan AI

  • Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memberi jaminan melindungi pegawai wanita yang mendedahkan salah laku pegawai atasan.
  • Kes melibatkan pegawai awam membawa masuk wanita warga asing tanpa dokumen sah melalui KLIA Terminal 2 dikesan AKPS dan dilaporkan kepada polis.
  • Suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memberi jaminan akan melindungi seorang pegawai wanita agensi itu yang berani tampil mendedahkan salah laku pegawai atasannya.

Beliau menyifatkan keberanian pegawai wanita berbangsa India itu sebagai satu tindakan yang wajar dihargai, selain menjadi titik permulaan kepada perubahan budaya kerja dan integriti dalam AKPS.

Mohd Shuhaily merujuk kepada kes seorang penjawat awam berusia lingkungan 40-an ditahan selepas dipercayai membawa masuk seorang wanita warga asing tanpa dokumen perjalanan sah menerusi kaunter Imigresen di KLIA Terminal 2, Sepang.

Advertisement

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner M. Ravi berkata, kes itu dikesan pihak AKPS sebelum laporan polis dibuat pada 17 November lalu.

"Saya akan menemui beliau dalam masa terdekat ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih... keberanian seperti ini yang kita perlukan.

Advertisement

"AKPS hanya memerlukan seorang individu untuk mengubah apa yang sedang berlaku di lapangan. Keberanian seperti ini adalah titik permulaan kepada perubahan yang ingin kita bawa.

"Dan untuk mendapat seorang pegawai yang dapat menghayatinya dengan sepenuh jiwa, ia adalah satu penghormatan untuk beliau berkhidmat bersama saya.

"Beliau sedang melawan arus dan saya akan sentiasa ada bersama beliau untuk mempertahankannya. Itulah janji saya kepadanya," ujar Mohd Shuhaily ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Penajaan Inisiatif Sang Perkasa di Zoo Negara, di sini, pada Isnin.

Tambah Mohd Shuhaily, beliau berharap Polis Diraja Malaysia (PDRM) dapat membongkar rangkaian lebih besar kegiatan jenayah itu susulan penahanan pegawai berkenaan.

“Saya lebih daripada bersedia untuk bekerjasama dengan PDRM dalam isu ini.

"Tangkap berapa ramai pun yang mahu ditangkap. Saya rasa sudah cukup, rakyat Malaysia juga sudah muak dengan kegiatan seperti ini," tegasnya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut modus operandi kegiatan terbabit termasuk kemungkinan wujudnya kegiatan ‘counter setting’ kerana siasatan masih dijalankan.

Difahamkan suspek ditahan oleh PDRM di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Must Watch Video

Advertisement