KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup bercampur-campur hari ini apabila hasil 10 tahun Amerika Syarikat (AS) melantun semula kepada 4.95 peratus menyebabkan jualan besar-besaran dalam pasaran ekuiti global meskipun data indeks harga pengeluar (IHPR) Malaysia yang positif, kata seorang peniaga.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.91 mata kepada 1,440.60 daripada paras penutup 1,442.51 pada Rabu.

Indeks itu yang dibuka tinggi naik 0.52 mata kepada 1,443.03, bergerak antara paras 1,438.80 dan 1,445.14 sepanjang hari dagangan.

Bagaimanapun, di keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 436 berbanding 402, manakala 448 kaunter tidak berubah, 1,088 tidak diniagakan dan 17 digantung.

Jumlah dagangan meningkat kepada 3.23 bilion unit bernilai RM1.98 bilion daripada 2.83 bilion unit bernilai RM1.78 bilion pada Rabu.

Ketua penyelidikan Apex Securities Bhd Kenneth Leong berkata penurunan pasaran ekuiti global itu juga disebabkan oleh kebimbangan terhadap persekitaran kadar faedah tinggi yang menjejaskan sentimen.

"Kami menjangkakan aliran menurun ini akan berterusan berikutan ketidaktentuan di pasaran global, peningkatan ketegangan geopolitik, peningkatan hasil bon dan keputusan pendapatan korporat yang bercampur-campur di Wall Street," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata para pelabur akan memantau data sentimen pengguna Amerika Syarikat (AS) untuk mencari petunjuk impak daripada kadar faedah tinggi ke atas kuasa beli pengguna.

Bagaimanapun, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menjangka pengumpulan saham akan berterusan dalam keadaan penurunan pasaran ketika ini yang dipengaruhi sebahagian besarnya oleh faktor luaran.

"Oleh itu, kami menjangkakan FBM KLCI akan terus diniagakan dalam jajaran 1,435 hingga 1,445 menuju ke hujung minggu dengan paras sokongan pada 1,430 dan paras rintangan pada 1,460," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi Maybank berada pada RM9.00, Public Bank dan Tenaga Nasional naik satu sen masing-masing kepada RM4.17 dan RM9.89, CIMB turun satu sen kepada RM5.68 dan Petronas Chemicals jatuh tiga sen kepada RM7.22.

Manakala dalam kalangan kaunter cergas, CSH Alliance dan Velesto tidak berubah masing-masing berada pada enam sen dan 26 sen, Widad susut dua sen kepada 45.5 sen, UEM Sunrise naik tujuh sen kepada 82 sen dan Leform menokok setengah sen kepada 24.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 6.62 mata kepada 10,631.70, Indeks FBMT 100 susut 9.66 mata kepada 10,304.30, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 20.05 mata kepada 10,843.43 dan Indeks FBM ACE jatuh 17.89 mata kepada 5,049.59.

Bagaimanapun, Indeks FBM 70 naik 4.21 mata kepada 14,022.67.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.52 mata kepada 171.86, Indeks Perladangan susut 7.10 mata kepada 6,875.48, Indeks Tenaga jatuh 1.37 mata kepada 870.66, namun Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 6.61 mata kepada 16,242.79.

Jumlah dagangan Pasaran Utama meningkat kepada 2.15 bilion unit bernilai RM1.72 bilion daripada 1.55 bilion unit bernilai RM1.46 bilion pada Rabu.

Jumlah dagangan waran menyusut kepada 320.30 juta unit bernilai RM41.67 juta daripada 400.99 juta unit bernilai RM52.67 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE turun kepada 742.41 juta saham bernilai RM221.09 juta daripada 867.82 juta saham bernilai RM257.89 juta sebelumnya.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 298.45 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (722.35 juta); pembinaan (167.00 juta); teknologi (178.36 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (82.78 juta); hartanah (316.19 juta); perladangan (26.70 juta); REITs (9.94 juta), dana tertutup (93,300); tenaga (142.27 juta); penjagaan kesihatan (77.74 juta); telekomunikasi dan media (44.85 juta); pengangkutan dan logistik (42.92 juta); dan utiliti (47.29 juta).

-- BERNAMA