Skip to main content

Dunia

Perez janji bawa pulang Mourinho jika menang pemilihan Real Madrid

Sumber: REUTERS
Presiden Real Madrid, Florentino Perez (kiri) berjanji akan membawa pulang Jose Mourinho sebagai pengurus sekiranya beliau memenangi pemilihan presiden kelab itu pada Ahad ini.

JOSE Mourinho dijangka kembali mengemudi Real Madrid sekiranya Florentino Perez berjaya mempertahankan jawatan, dalam pemilihan yang menyaksikan beliau dicabar oleh usahawan tenaga boleh diperbaharui, Enrique Riquelme - pertandingan pertama dalam tempoh 20 tahun.

Pengumuman itu dibuat menerusi media sosial Perez melalui video ringkas yang memaparkan Mourinho sekadar menyebut “Ya!”, disusuli slogan “So MOUch history to be made” sebagai simbolik kepada potensi kepulangan jurulatih dari Portugal itu.

Mourinho sebelum ini mencipta sejarah bersama Real Madrid, termasuk membantu kelab itu mencatat pungutan mata tertinggi La Liga pada 2012. 

Bagaimanapun, kali terakhir beliau menjulang gelaran liga ialah ketika bersama Chelsea pada 2015.

Langkah membawa pulang Mourinho dibuat susulan prestasi domestik yang mengecewakan musim ini apabila Barcelona menjuarai liga dua musim berturut-turut.

Real Madrid yang pernah menjulang Liga Juara-Juara sebanyak 15 kali turut gagal memberi impak di pentas Eropah apabila tersingkir di peringkat suku akhir dalam dua musim berturut-turut, selain ketiadaan trofi utama.

Dalam perkembangan sama, Riquelme turut mengemukakan perancangannya jika menang pemilihan, termasuk hasrat membawa masuk pemain tengah Manchester City, Rodri sebagai pembelian utama.

Beliau juga menyasarkan penyerang sensasi kelab itu, Erling Haaland, selain merancang melantik legenda Real Madrid, Raul, sebagai pengarah sukan.

Sejak meninggalkan Chelsea, pencapaian Mourinho dilihat sederhana apabila hanya memenangi Piala Liga dan Liga Europa bersama Manchester United serta Liga Konferens Eropah bersama AS Roma.

Karier kejurulatihannya turut merentasi beberapa kelab termasuk Tottenham Hotspur, Fenerbahce dan Benfica, dengan kontraknya bersama kelab Portugal itu dilaporkan hingga Jun 2027.

Walaupun ada pihak berpendapat, pendekatan Mourinho tidak lagi sesuai dengan bola sepak moden, Perez dilihat yakin beliau mampu mengembalikan disiplin dan ketajaman skuad yang kini dibarisi pemain seperti Kylian Mbappe, Vinicius Junior dan Jude Bellingham.

Mourinho sebelum ini menafikan sebarang rundingan rasmi dengan Real Madrid, meskipun spekulasi mengenai kepulangannya semakin hangat diperkatakan.

Sekiranya Perez menang pemilihan itu, Mourinho akan kembali ke Santiago Bernabeu selepas 13 tahun meninggalkan kelab berkenaan pada 2013.

Mourinho pernah mengendalikan Real Madrid dari 2010 hingga 2013, dengan pencapaian merangkul satu gelaran La Liga, satu Copa del Rey dan satu Piala Super Sepanyol.

Terdahulu, Real Madrid memecat Xabi Alonso pada Januari dalam musim pertamanya, sebelum pasukan itu dikemudi Alvaro Arbeloa sebagai jurulatih sementara hingga tamat musim. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement