Skip to main content

Bisnes

Bursa Malaysia ditutup rendah berikutan rancangan AS sekat Selat Hormuz

61757402235_BursaMalaysia.jpg
Pada 5 petang, FBM KLCI turun 10.79 mata atau 0.64 peratus kepada 1,680.52 daripada 1,691.31 ketika ditutup pada Jumaat lepas. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah pada Isnin, menjejaki prestasi pasaran serantau yang hambar apabila rundingan Iran-Amerika Syarikat (AS) berakhir tanpa penyelesaian, seterusnya mendorong Washington meneruskan rancangan sekatan terhadap Selat Hormuz.

Kegagalan rundingan Iran-AS mencapai persetujuan itu turut meningkatkan semula ketegangan geopolitik.

Advertisement

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 10.79 mata atau 0.64 peratus kepada 1,680.52 daripada 1,691.31 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Indeks penanda aras itu, yang dibuka 8.88 mata lebih rendah kepada 1,682.43, bergerak antara 1,685.52 hingga 1,675.64 sepanjang dagangan hari ini.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 760 berbanding 402, manakala 454 kaunter tidak berubah, 1,101 kaunter tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung urus niaga.

Jumlah dagangan meningkat kepada 2.94 bilion unit bernilai RM2.64 bilion daripada 2.89 bilion unit bernilai RM2.60 bilion pada Jumaat.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Tentera Laut AS dijangka memintas kapal yang berkaitan dengan pelabuhan Iran, sekali gus meningkatkan semula ketegangan geopolitik dan memberi tekanan kepada sentimen pasaran.

“Konflik yang memuncak semula ini mendorong harga minyak mentah Brent melepasi paras US$100 setong, menyebabkan sentimen pelabur kekal berhati-hati dan mengekang minat terhadap ekuiti,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata di peringkat domestik,  kekurangan minat belian terus mengehadkan sebarang kenaikan yang kukuh, menjadikan FBM KLCI terdedah kepada penurunan selanjutnya sekiranya keadaan luaran merosot.

“Dalam melangkah maju, kami menjangkakan turun naik ini berterusan dalam tempoh terdekat, dengan perkembangan di Asia Barat dan perubahan harga minyak mentah kekal sebagai faktor utama.

“Tanpa pemangkin positif yang jelas, FBM KLCI diunjurkan kekal dalam fasa konsolidasi dan merekodkan dagangan dalam julat 1,660 hingga 1,690 bagi minggu ini,” katanya.

Antara saham wajaran tinggi, Maybank susut 18 sen kepada RM10.98, Public Bank turun lima sen kepada RM4.60, CIMB kurang 13 sen kepada RM7.39, IHH Healthcare menguncup 10 sen kepada RM8.71, manakala Tenaga Nasional naik 10 sen kepada RM14.18.

Antara saham paling aktif, MMAG dan Zetrix AI masing-masing meningkat setengah sen kepada empat sen dan 76 sen, Top Glove susut tiga sen kepada 77.5 sen, Bumi Armada menokok dua sen kepada 40 sen, dan Tanco turun satu sen kepada RM1.64.

Bagi saham paling untung, Nestle (Malaysia) Bhd melonjak 90 sen kepada RM99.00, Petronas Dagangan menambah 50 sen kepada RM21.30, PMB Technology naik 27 sen kepada RM1.84, manakala Petronas Gas dan Petronas Chemicals masing-masing meningkat 20 sen kepada RM18.44 dan RM6.02.

Antara saham paling rugi, Fraser and Neave Holdings Bhd merosot 62 sen kepada RM29.18, Batu Kawan susut 40 sen kepada RM21.02, Hong Leong Bank turun 338 sen kepada RM21.70, Hong Leong Financial kurang 22 sen kepada RM18.60, dan Apollo Food menguncup 20 sen kepada RM5.70.

Di papan indeks,Indeks FBM Top 100 susut 80.59 mata kepada 12,179.07, indeks FBM Emas turun 79.39 ata kepada 12,333.27, Indeks FBM Mid 70 kurang 124.12 mata kepada 17,196.85, Indeks FBM Emas Syariah turun 22.27 mata kepada 12,267.06, dan Indeks FBM ACE kurang 19.07 mata kepada 4,410.91.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 285.77 mata kepada 19,498.89, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 1.27 mata kepada 187.18, Indeks Tenaga menokok 18.45 mata kepada 831.70, dan Indeks Perladangan bertambah 1.64 mata kepada 8,968.89.

Jumlah dagangan Pasaran Utama susut kepada 1.54 bilion unit bernilai RM2.40 bilion daripada 1.74 bilion unit bernilai RM2.36 bilion pada Jumaat lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 980.67 juta unit bernilai RM131.27 juta daripada 847.80 juta unit bernilai RM126.93 juta pada Jumaat minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula menokok kepada 417.61 juta unit bernilai RM111.03 juta daripada 298.38 juta unit bernilai RM110.80 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 186.91 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (242.94 juta), pembinaan (137.90 juta), teknologi (162.14 juta), perkhidmatan kewangan (73.76 juta), hartanah (139.74 juta), perladangan (40.08 juta), amanah pelaburan hartanah (15.29 juta), dana tertutup (27,000), tenaga (246.15 juta), penjagaan kesihatan (178.11 juta), telekomunikasi dan media (49.28 juta), pengangkutan dan logistik (26.12 juta), utiliti (40.93 juta), dan amanah perniagaan (44,900).

-- BERNAMA

Must Watch Video