KUALA LUMPUR: Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani merakamkan ucapan takziah kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad susulan pemergian isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali semalam.
Ucapan takziah itu disampaikan menerusi kenyataan yang diterbitkan Dewan Pemerintahan Amir sebagai tanda simpati dan dukacita atas pemergian Allahyarham.
Turut menyampaikan ucapan takziah ialah Timbalan Amir Qatar, Sheikh Abdullah bin Hamad Al Thani serta Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani.
Pada masa sama, pemergian Dr Siti Hasmah turut dilaporkan media Arab, termasuk portal berita Arab Saudi, Alarabiya dan portal berita Emiriah Arab Bersatu (UAE), Albayan dan Alkhaleej.
Dr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pagi Isnin pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh orang anak.
Istiadat Pengebumian Pembesar Negara telah diadakan bagi memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham yang selamat disemadikan pada 6.20 petang Isnin di Pusara Negara, Presint 20 Putrajaya.
-- BERNAMA