Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Pulau Pinang tawar pengalaman berbeza bersempena TMM 2026

PULAU PINANG
Antara lokasi yang kurang dikunjungi ialah Jeti Yeoh, iaitu satu daripada Jeti Klan bersejarah di George Town, membawa pengunjung melewati rumah yang masih didiami oleh imigran Cina dari abad ke-19. - Gambar MAHB
Advertisement

GEORGE TOWN: Selain kawasan yang sering dikunjungi, iaitu George Town dan destinasi popular Bukit Bendera, kini Pulau Pinang menawarkan pengalaman yang lebih menarik dan berbeza kepada pengunjung bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.

Antara lokasi yang kurang dikunjungi ialah Jeti Yeoh, iaitu satu daripada Jeti Klan bersejarah di George Town, membawa pengunjung melewati rumah yang masih didiami oleh imigran Cina dari abad ke-19.

Berbanding Jeti Chew yang sering dikunjungi, Jeti Yeoh mempunyai kemudahan pelancongan yang agak terhad.

"Tiada papan tanda, tiada gerai cenderamata, hanya jeti dan penduduk yang menetap di situ. Bagi saya, suasana itu lebih asli berbanding apa yang saya lihat di George Town," kata Sarah Lim, 24, seorang pelancong dari Kuala Lumpur.

Di situ juga terletaknya Kuil HhI ean Boo Thean Kuan Yin, yang juga dikenali sebagai kuil terapung, yang dibina di atas air. Selain kelihatan menarik pemandangan pada waktu siang, kuil itu turut menampilkan suasana berbeza pada waktu malam apabila cahaya tanglung dan lampu memantul dari permukaan air.

Tidak jauh dari George Town, pengunjung berpeluang meneroka dua kompleks kuil Buddha yang mempunyai keunikan tersendiri, dan terletak bertentangan antara satu sama lain berhampiran Gurney Drive, di atas tanah yang asalnya disumbangkan oleh Ratu Victoria.

Wat Chayamangkalaram, sebuah kuil Buddha Thailand, menempatkan patung Buddha berbaring sepanjang 33 meter, manakala bertentangan dengannya, Kuil Buddha Burma Dhammikarama menampilkan patung-patung berhias, laluan berbumbung serta reka bentuk dedaun berwarna keemasan.

"Saya datang untuk melihat patung Buddha berbaring tetapi akhirnya lebih banyak meluangkan masa di kuil Burma di seberang jalan. Masuk adalah percuma dan tanpa sedar saya habiskan masa dua jam di situ," kata Hafiz Razak, 26, dari Shah Alam.

Selain itu, Pasar dan Kompleks Makan Tanjung Bungah menawarkan pelbagai jenis makanan laut dan juadah tempatan, manakala gerai makanan bersebelahan menyediakan hidangan popular Pulau Pinang termasuk char kuetiau, laksa dan roti canai.

Di Teluk Bahang, Cat Beach Sanctuary berhampiran Taman Negara Pulau Pinang menawarkan pengalaman berbeza pengunjung berpeluang melihat dengan lebih dekat kucing yang diselamatkan dan kucing terbiar mendapat perlindungan di pusat itu yang dikendalikan oleh sukarelawan.

Pengunjung juga boleh menghulurkan sumbangan bagi membantu menyediakan makanan untuk kucing-kucing di pusat berkenaan. 

Sementara itu, Penang River Cruise yang berlepas dari Auto-City Juru memberikan perspektif berbeza apabila pengunjung menikmati suasana menyusuri sungai selama dua jam di sepanjang kawasan yang pernah melalui kerja pembersihan daripada timbunan sampah seberat ratusan tan.

Pengunjung akan menelusuri kawasan hutan bakau, perkampungan nelayan dan rumah di tebing sungai, sambil melihat keindahan alam dan haiwan seperti kera, biawak dan memerang.

Untuk pelawat yang tiba dengan pesawat, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di Bayan Lepas menjadi pintu masuk ke pulau itu, yang menghubungkan dengan lapan lapangan terbang domestik utama, termasuk hab serantau penting di Sabah dan Sarawak, selain beberapa hab antarabangsa terpilih.

Lapangan terbang itu turut menyediakan akses jalan raya ke destinasi utama, dengan perjalanan ke George Town mengambil masa kira-kira 30 minit, manakala ke Batu Ferringhi hanya 45 minit.

Penerbangan terus dari Kuala Lumpur menjadikan Pulau Pinang mudah dikunjungi untuk percutian singkat, manakala kemudahan jalan raya dan kereta api melalui Butterworth pula menyediakan pilihan alternatif kepada pelancong dari Semenanjung Malaysia.

"Penerbangan mengambil masa kurang sejam dan mudah mendapatkan Grab sebaik sahaja keluar dari lapangan terbang. Tambang ke George Town juga berpatutan. Sejujurnya, memang senang kalau nak bercuti ke Pulau Pinang," kata Aiman Danial, 25, dari Johor Bahru.

Selain destinasi warisan yang sudah terkenal, Pulau Pinang menawarkan pelbagai pengalaman budaya, kulinari dan alam semula jadi yang kurang diterokai, sekali gus memberikan peluang kepada pengunjung bersempena dengan TMM 2026 untuk mengenali sisi lain pulau itu.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement