KUALA LUMPUR: Garis Panduan Gaji Pokok Permulaan berasaskan Piawaian Pengelasan Pekerjaan Malaysia (MASCO) perlu disokong dengan mekanisme pemantauan dan pelaporan yang telus bagi memastikan majikan mematuhi penanda aras gaji yang ditetapkan, kata penganalisis ekonomi.
Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff daripada Putra Business School berkata tanpa mekanisme penguatkuasaan yang jelas, majikan berpotensi mengabaikan garis panduan berkenaan tanpa berdepan dengan tindakan undang-undang, sekali gus menyukarkan siswazah mempertikaikan tawaran gaji yang rendah.
Beliau berkata penetapan gaji permulaan RM2,500 juga tidak semestinya menjamin kesaksamaan sekiranya skop tugas, tahap kemahiran dan tanggungjawab sesuatu pekerjaan tidak dinilai dengan tepat.
“Pengelasan pekerjaan di bawah MASCO perlu disemak berdasarkan tugas sebenar, bukan sekadar jawatan yang tertera dalam kontrak.
“Kerajaan juga perlu menetapkan takrif yang jelas bagi gaji pokok dan elaun supaya majikan tidak memasukkan bonus, kerja lebih masa atau bayaran berubah-ubah untuk mengaburi kadar gaji sebenar,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Beliau mengulas pengumuman Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) tentang penyediaan garis panduan berkenaan bagi memastikan pelaksanaan dasar berkaitan gaji minimum dan gaji pokok permulaan untuk siswazah serta pekerja separa mahir, seperti diumumkan dalam Belanjawan 2027, dapat dilaksanakan secara teratur.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata garis panduan itu akan menyediakan rujukan gaji pokok permulaan yang lebih komprehensif mengikut jenis pekerjaan dan tahap kelayakan, manakala pindaan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 [Akta 732] sedang diperincikan bagi membolehkan pembayaran gaji minimum kepada siswazah diwajibkan pada masa hadapan.
Ahmed Razman berkata sementara menunggu pindaan akta berkenaan, kerajaan perlu menetapkan pelan peralihan yang jelas, termasuk sasaran pematuhan tahunan, pelaporan kadar gaji permulaan dan penerbitan tahap pematuhan mengikut sektor.
Beliau berkata syarikat berkaitan kerajaan dan kontraktor kerajaan juga wajar menjadi peneraju dengan mematuhi penanda aras berkenaan terlebih dahulu, manakala insentif seperti keutamaan dalam perolehan kerajaan atau pengiktirafan sebagai majikan progresif boleh dipertimbangkan untuk menggalakkan pematuhan.
Dalam memastikan garis panduan itu dilaksanakan secara berkesan, beliau berkata kerajaan perlu menjalankan audit pematuhan berasaskan risiko, khususnya dalam sektor yang banyak mengambil siswazah dan menawarkan gaji rendah, selain menyediakan saluran aduan pekerja serta perlindungan kepada pemberi maklumat.
Menyentuh tentang mekanisme e-Wages yang sedang diperincikan KESUMA bagi memperkukuh pemantauan pembayaran gaji, Ahmed Razman berkata sistem itu perlu mengintegrasikan data gaji dengan rekod transaksi bank, kontrak pekerjaan, penyata gaji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan rekod cukai berkaitan, tertakluk pada perlindungan data peribadi.
Beliau berkata langkah itu membolehkan kerajaan membandingkan gaji yang dijanjikan dengan jumlah sebenar yang diterima pekerja, selain mengesan pembayaran lewat, kekurangan bayaran dan majikan yang berulang kali melanggar peraturan.
“Analisis risiko automatik boleh membantu Jabatan Tenaga Kerja menyasarkan pemeriksaan kepada majikan berisiko tinggi. Namun, sistem ini mesti mempunyai kawalan keselamatan data dan prosedur pengesahan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pengesahan pembayaran tidak boleh bergantung sepenuhnya pada laporan majikan, sebaliknya perlu melibatkan semakan silang transaksi bank dan rekod gaji, pengakuan pekerja secara sulit serta audit mengejut.
Ahmed Razman berkata pekerja juga perlu diberi akses kepada rekod pembayaran gaji masing-masing dan dilindungi daripada tindakan balas sekiranya melaporkan penyelewengan.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah Dr Jain Yassin berkata kerajaan perlu menyediakan data gaji yang telus mengikut pekerjaan, kelayakan, kemahiran, sektor dan lokasi bagi membantu siswazah menilai tawaran gaji dengan lebih tepat.
Beliau berkata ketidakseimbangan maklumat antara majikan dengan siswazah boleh menyebabkan pencari kerja menerima tawaran di bawah kadar sewajarnya kerana tidak mempunyai maklumat mencukupi tentang kadar gaji pasaran.
“Untuk menanganinya, kerajaan boleh memperkukuh portal e-MASCO dengan menyediakan maklumat gaji mengikut jenis pekerjaan, kelayakan dan tahap kemahiran serta mengemas kini dari semasa ke semasa supaya graduan dapat membandingkan tawaran gaji dengan kadar pasaran,” katanya.
Pada masa sama, Jain berkata mekanisme e-Wages harus berfungsi sebagai sistem amaran awal yang dapat mengesan ketidakpatuhan melalui pemantauan automatik terhadap gaji pokok, elaun, pembayaran lewat dan percanggahan dengan kontrak pekerjaan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa perkara itu perlu diintegrasikan dengan kecerdasan buatan (AI) bersama data penggajian dan analisis pasaran buruh bagi mengesan ketidakpatuhan secara lebih sistematik, manakala aplikasi WhatsApp atau hotline digunakan sebagai saluran aduan pekerja dengan memberikan jaminan kerahsiaan dan perlindungan daripada tindakan balas majikan.
Bagi memastikan ketepatan rekod pembayaran, beliau turut mencadangkan pelantikan pemantau bebas, termasuk badan profesional, penyelidik universiti atau pakar ekonomi buruh, untuk menjalankan audit berkala dan menilai tahap pematuhan majikan secara objektif.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 berkuat kuasa pada Jun 2027, yang dijangka memberikan manfaat kepada lebih empat juta pekerja.
Anwar dilaporkan berkata perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang mempunyai hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan kadar baharu itu bagi memberikan ruang kepada mereka menyesuaikan model perniagaan masing-masing.
-- BERNAMA