Skip to main content

Teknologi

[KOLUMNIS] AI yang memakan sel-sel otak kita


Kanak-kanak yang sepatutnya belajar memahami dunia melalui pengalaman kini mengenali dunia hanya melalui skrin. - Gambar hiasan/Reuters
Kanak-kanak yang sepatutnya belajar memahami dunia melalui pengalaman kini mengenali dunia hanya melalui skrin. - Gambar hiasan/Reuters

Advertisement

ADA sesuatu yang sedang berlaku kepada otak manusia. Kita semakin banyak tahu, tetapi semakin sedikit berfikir. Kita semakin pantas memperoleh jawapan, tetapi semakin malas mengemukakan soalan. Semua perpustakaan dunia kini di hujung jari, tetapi tiada kesabaran untuk membaca; walau sepuluh halaman buku.

Dan sekarang, dengan kecerdasan buatan atau AI, kita mungkin sedang melangkah ke satu zaman yang lebih aneh. Zaman apabila manusia tidak lagi perlu berfikir.

Kita hanya perlu menaip arahan.

Jonathan Haidt dalam bukunya The Anxious Generation menghujahkan bahawa dunia telah melakukan satu eksperimen besar-besaran terhadap anak-anak tanpa benar memahami akibatnya.

Eksperimen itu bermula apabila zaman kanak-kanak yang dahulunya dipenuhi permainan, pergaulan dan pengalaman fizikal secara beransur-ansur digantikan dengan kehidupan berasaskan kepintaran telefon.

Kanak-kanak yang sepatutnya belajar memahami dunia melalui pengalaman kini mengenali dunia hanya melalui skrin. Mereka tidak lagi perlu keluar untuk meneroka. Dunia datang kepada mereka melalui algoritma.

Apabila Teknologi Ganti Pengalaman

Haidt mengaitkan perubahan ini dengan peningkatan masalah kesihatan mental dalam kalangan remaja, khususnya sejak penggunaan telefon pintar dan media sosial berkembang pesat. Walaupun hubungan sebab dan akibatnya masih diperdebatkan dalam kalangan penyelidik, persoalan yang dibangkitkannya tetap penting.

Apakah yang berlaku kepada manusia apabila teknologi mengambil alih pengalaman yang sepatutnya membentuk dirinya?

Persoalan ini menjadi lebih mendesak apabila kita memasuki zaman AI.

Katherine Rundell, penulis dan sarjana sastera dari Oxford, turut menyuarakan kebimbangan tentang kesan AI terhadap pemikiran dan kebahagiaan generasi muda.

Rundell datang daripada dunia yang percaya bahawa membaca, berimaginasi dan bergelut dengan bahasa merupakan sebahagian daripada proses menjadi manusia.

Dalam dunia kesusasteraan, kita tidak membaca semata-mata untuk mengetahui bagaimana sebuah cerita berakhir. Kita membaca kerana proses pembacaan itulah yang membentuk imaginasi, empati dan pemikiran kita.

Tetapi AI menawarkan jalan pintas.

Mengapa perlu membaca sebuah novel berhari-hari apabila AI boleh merumuskannya dalam lima perenggan? Mengapa perlu memahami sebuah teori apabila AI boleh menjelaskannya dalam tiga perenggan? Mengapa perlu menulis sebuah esei apabila AI boleh menyiapkannya dalam tiga puluh saat?

Proses Berfikir Yang Kita Tinggalkan

Masalahnya bukan pada jawapan yang diberikan oleh AI.

Masalahnya ialah proses berfikir yang kita tinggalkan untuk mendapatkan jawapan tersebut. Dalam pendidikan, perkara ini sepatutnya membimbangkan kita.

Dalam pendidikan, kita sering menganggap kesukaran sebagai sesuatu yang perlu diatasi. Jika seorang murid tidak memahami sesuatu, kita mencari jalan untuk memudahkannya. Jika sebuah tugasan mengambil masa terlalu lama, kita mencari kaedah untuk mempercepatkannya.

Tetapi bagaimana jika kesukaran itu sendiri merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran?

Seorang kanak-kanak yang bergelut memahami sebuah novel sebenarnya sedang belajar membuat tafsiran. Seorang pelajar yang mengambil masa berjam-jam menyiapkan karangan sedang belajar menyusun pemikiran. Malah, seorang murid yang gagal menyelesaikan masalah matematik sedang melalui proses yang mungkin lebih berharga daripada memperoleh jawapan yang betul.

Imaginasi vs Algoritma

Ada sesuatu yang terbentuk ketika manusia berdepan dengan perkara yang tidak diketahuinya. Kesabaran. Imaginasi. Keupayaan membuat pertimbangan. Keberanian untuk mencuba sekali lagi.

Semua ini tidak boleh dipercepatkan semata-mata kerana kita mempunyai teknologi yang lebih pantas.

Namun, AI kini menawarkan sesuatu yang hampir mustahil ditolak. Jawapan tanpa perlu mencari. Karangan tanpa perlu menulis. Penjelasan tanpa perlu membaca. Malah, pendapat tanpa perlu membentuk pendirian sendiri.

Kita mungkin sedang membesarkan generasi yang tidak pernah benar-benar mengalami kesukaran untuk mendapatkan jawapan.

Dan persoalan yang lebih membimbangkan ialah, apakah yang akan terjadi apabila mereka berdepan dengan kehidupan sebenar yang tidak menyediakan jawapan segera?

Sekolah Tidak Lagi Perlu?

Sebenarnya hari ini, kita berhadapan dengan satu lagi kemungkinan yang lebih menakutkan.

Bagaimana jika sekolah akhirnya melahirkan generasi yang tidak lagi merasakan keperluan untuk berfikir kerana mesin boleh berfikir bagi pihak mereka?

Seorang pelajar boleh menghasilkan esei yang kelihatan cemerlang tanpa benar-benar memahami satu pun hujah yang ditulisnya. Dia boleh menyiapkan tugasan matematik tanpa memahami jalan penyelesaiannya. Dia boleh menyediakan pembentangan yang cantik tanpa perlu bergelut dengan idea yang ingin disampaikan.

Kita mungkin sedang menghasilkan generasi yang semakin mahir memberikan arahan kepada mesin, tetapi semakin lemah dalam pemikirannya sendiri.

Sudah tentu AI juga boleh membantu manusia belajar dengan lebih baik. Ia boleh menjadi pembimbing, membuka akses kepada ilmu dan membantu murid memahami perkara yang sukar.

Namun, terdapat perbezaan besar antara menggunakan teknologi untuk mengembangkan pemikiran dengan menyerahkan pemikiran kepada teknologi.
Perbezaan inilah yang semakin kabur.

Dan akibatnya tidak terhenti di bilik darjah.

Lihat sahaja bagaimana masyarakat kita berhadapan dengan berita palsu.

Setiap hari, ribuan kandungan bergerak merentasi telefon pintar. Video dipotong, gambar dimanipulasi, kenyataan dikeluarkan daripada konteks dan dakwaan disebarkan seolah-olah semuanya benar.

Dengan AI, kandungan palsu boleh dihasilkan dengan lebih pantas, lebih murah dan lebih meyakinkan.

Masyarakat Pembohong

Hari ini, masalah kita bukan keupayaan teknologi untuk mencipta pembohongan. Masalahnya ialah masyarakat yang semakin kehilangan kesabaran untuk membezakan antara kebenaran dengan pembohongan.

Kita membaca tajuk tanpa membaca berita. Kita berkongsi video tanpa mengetahui konteks. Kita mempercayai sesuatu bukan kerana bukti yang kukuh, tetapi kerana ia selari dengan apa yang sudah kita percaya.

Algoritma pula mengenali kecenderungan kita. Ia menghidangkan kemarahan kepada mereka yang mudah marah, ketakutan kepada mereka yang mudah takut dan keyakinan palsu kepada mereka yang enggan mempersoalkan diri sendiri.

Akhirnya, kita mungkin mempunyai masyarakat yang sangat banyak maklumat tetapi sangat miskin pertimbangannya.

Masyarakat yang pantas memberikan pendapat tetapi lambat memahami persoalan.

Masyarakat yang lebih gemar mencari musuh daripada mencari kebenaran.

Inilah sebabnya perbincangan tentang AI tidak boleh berhenti pada soal inovasi, produktiviti dan kecekapan ekonomi semata-mata. Kita perlu kembali bertanya tentang tujuan pendidikan dan makna menjadi manusia.

Paulo Freire pernah mengingatkan kita bahawa pendidikan tidak pernah bersifat neutral. Ia sama ada membebaskan manusia untuk memahami dan mengubah dunia, atau menjadikan mereka sekadar menerima dunia sebagaimana yang disajikan kepada mereka.

Dalam zaman AI, persoalan ini menjadi lebih mendesak. Jika dahulu manusia menerima pengetahuan daripada mereka yang dianggap berautoriti, hari ini kita semakin mudah menerima jawapan daripada mesin tanpa mempersoalkan bagaimana jawapan itu dihasilkan.

Kita mungkin semakin banyak mengetahui tentang dunia, tetapi semakin kehilangan keupayaan untuk mempertikaikan apa yang diberitahu kepada kita.

Kita tidak boleh sekadar mengajar anak-anak menggunakan teknologi. Kita mesti mengajar mereka mempersoalkan teknologi. Siapa yang membinanya?

Maklumat apakah yang digunakannya? Kepentingan siapa yang diwakilinya? Dan apakah yang berlaku apabila kita menyerahkan pertimbangan sendiri kepadanya?

Kerana pada akhirnya, bahaya terbesar AI mungkin bukan apabila mesin menjadi lebih pintar daripada manusia.

Tetapi apabila manusia berhenti merasakan bahawa berfikir itu penting.

Dan jika pendidikan gagal mempertahankan keupayaan manusia untuk berfikir, kita mungkin tidak memerlukan mesin untuk memperhambakan manusia.

Kita sendiri yang akan menyerahkan kebebasan itu.

Secara sukarela.


* ZF Zamir ialah seorang penulis, pendidik dan pengamal komunikasi strategik yang mempunyai pengalaman dalam bidang pendidikan, penerbitan dan dasar awam. 

** Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis berdasarkan bidangnya dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
 
 

Must Watch Video

Advertisement