KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah sejajar dengan prestasi pasaran serantau yang kurang menggalakkan, dipengaruhi oleh sentimen berhati-hati menjelang pengumuman data Indeks Harga Pengguna (IHP) Amerika Syarikat (AS) esok.

Pada 5 petang, FBM KLCI merosot 11.97 mata kepada 1,486.86 daripada 1,498.83 pada Selasa.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah 1.03 mata kepada 1,497.80 dan bergerak antara 1,486.72 dan 1,497.80 sepanjang hari.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 588 berbanding 359 manakala 497 kaunter tidak berubah, 775 tidak diniagakan dan 20 yang lain digantung.

Jumlah dagangan merosot kepada 4.97 bilion unit bernilai RM2.84 bilion daripada 6.44 bilion unit bernilai RM3.77 bilion pada Selasa.

Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, pasaran ekuiti Asia, termasuk Bursa Malaysia, sebahagiannya telah dipengaruhi oleh ketidaktentuan Indeks Hang Seng, Dow Jones Industrial Average, Nasdaq dan S&P 500.

Beliau berkata sentimen pasaran global lemah dengan dolar AS mengukuh, penanda aras ekuiti merosot dan hasil Perbendaharaan AS berkurangan.

"Pemacu sebenar pergerakan pasaran ini tidak begitu jelas berikutan data makro semalaman tidak menunjukkan yang luar biasa dari segi kelemahan ekonomi.

"Faktor global yang ketara ialah kebimbangan yang semakin meningkat menjelang data IHP AS berikutan inflasi boleh meningkat dan mungkin terdapat peralihan dalam naratif positif apabila peniaga global mempersoalkan jangkaan penurunan kadar oleh Rizab Persekutuan AS yang berlebihan," katanya kepada Bernama.

Dalam negara, Innes berkata Bursa Malaysia semakin meningkat berikutan kitaran barangan global dan trend khusus produk yang semakin baik seperti ledakan cip kecerdasan buatan (AI), yang memberi manfaat kepada pengeluar cip tempatan.

"Walaupun sektor AI dijangka terus berkembang maju, mungkin terdapat aktiviti pengambilan untung," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank, CIMB dan Petronas Chemicals, masing-masing merosot 10 sen kepada RM9, RM5.95 dan RM7.00 manakala Public Bank dan Tenaga Nasional, masing-masing susut lapan sen kepada RM4.31 dan RM10.48.

Daripada saham aktif, TWL Holdings naik setengah sen kepada lima sen manakala Minetech Resources dan Pan Malaysia Holdings, masing-masing berkurangan satu sen kepada 22.5 sen dan 14 sen, Hong Seng Consolidated susut setengah sen kepada dua sen dan Fintec Global tidak berubah pada 1.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 68.32 mata kepada 11,097.83, Indeks FBMT 100 merosot 69.96 mata kepada 10,743.75, Indeks FBM ACE susut 10.09 mata kepada 5,432.85, Indeks FBM 70 jatuh 30.73 mata kepada 15,078.64 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 31.69 mata kepada 11,234.96.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 188.13 mata kepada 16,547.79, Indeks Perladangan susut 14.68 mata kepada 7,067.51, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.65 mata kepada 176.46 dan Indeks Hartanah turun 8.45 mata kepada 896.42 manakala Indeks Tenaga meningkat 5.69 mata kepada 850.18.

Jumlah dagangan Pasaran Utama jatuh kepada 3.32 bilion unit bernilai RM2.50 bilion daripada 4.38 bilion unit bernilai RM3.34 bilion pada Selasa.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 711.64 juta unit bernilai RM86.69 juta daripada 1.03 bilion unit bernilai RM127.07 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 923.63 juta saham bernilai RM257.19 juta daripada 1.03 bilion saham bernilai RM294.60 juta sebelum ini.

Kaunter barangan pengguna dan perkhidmatan menyumbang 576.18 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk perindustrian dan perkhidmatan (942.30 juta); pembinaan (189.63 juta); teknologi (568.89 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (74.57 juta); hartanah (477.70 juta); perladangan (23.48 juta); REIT (10.75 juta), dana tertutup (52,800); tenaga (128.73 juta); penjagaan kesihatan (125.20 juta); telekomunikasi dan media (35.36 juta); pengangkutan dan logistik (54.67 juta) dan utiliti (115.52 juta).

-- BERNAMA