CALIFORNIA: Apple dilaporkan mengurangkan peruntukan penggunaan kecerdasan buatan (AI) untuk pekerjanya sebagai sebahagian daripada usaha lebih meluas untuk mengawal perbelanjaan, walaupun syarikat itu terus memperhebat penggunaan teknologi berkenaan dalam operasinya.
Menurut laporan Bloomberg News yang memetik sumber yang arif mengenai perkara itu, Apple bulan lalu mengurangkan had perbelanjaan harian AI bagi sebahagian jurutera kepada AS$200 sehari berbanding AS$300 sebelum ini.
Laporan sama menyebut syarikat itu sedang mempertimbangkan pengurangan lanjut untuk beberapa pasukan kejuruteraan, dengan had harian berkemungkinan diturunkan kepada AS$100.
Bagi beberapa kumpulan bukan kejuruteraan, had penggunaan AI sedia ada sudah berada pada paras AS$100 sehari dan boleh dikurangkan sehingga serendah AS$25.
Bagaimanapun, pekerja yang memerlukan akses lebih besar kepada peralatan AI boleh memohon pengecualian daripada pihak pengurusan kanan.
Peruntukan tersebut digunakan untuk membeli "token" AI, iaitu unit data yang diproses oleh model kecerdasan buatan seperti ChatGPT keluaran OpenAI, Claude oleh Anthropic dan Gemini milik Google.
Langkah itu mencerminkan trend yang semakin ketara dalam kalangan syarikat teknologi yang kini menilai semula perbelanjaan berkaitan AI selepas sebelum ini menggalakkan penggunaan teknologi berkenaan secara meluas.
Apple setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.
Perkembangan tersebut berlaku ketika semakin banyak syarikat mengambil pendekatan lebih berhati-hati terhadap pelaburan AI. Bloomberg sebelum ini melaporkan Goldman Sachs mengehadkan akses kepada beberapa alat pengekodan AI selepas menjalankan penilaian berkaitan produktiviti dan pengurusan risiko. - Reuters