KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini seiring dengan prestasi lemah pasaran serantau berikutan pelabur mengambil sikap berhati-hati dan mengurangkan aktiviti belian menjelang cuti hujung minggu.
Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan 1.36 mata atau 0.08 peratus kepada 1,720.34 daripada 1,721.20 ketika ditutup pada Khamis.
Advertisement
Indeks penanda aras itu dibuka 1.55 mata lebih tinggi kepada 1,723.25 sebelum bergerak antara 1,719.73 hingga 1,724.30 sepanjang dagangan.
Bagi keseluruhan pasaran, kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 575 berbanding 530, manakala 645 kaunter tidak berubah, 998 kaunter tidak diniagakan dan 49 yang lain digantung.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.22 bilion unit bernilai RM3.25 bilion daripada 3.48 bilion unit bernilai RM3.10 bilion pada Khamis.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata seluruh rantau ini, indeks utama Asia mengalami penyusutan selepas mencapai paras tertinggi awal minggu ini, berikutan aktiviti pengambilan untung oleh pelabur dan menilai semula risiko jangka pendek.
“Di peringkat tempatan, kami mengekalkan prospek optimistik tetapi berhati-hati, disokong oleh asas yang berdaya tahan dan minat risiko semakin baik susulan kebimbangan geopolitik semakin berkurangan.
“Bagaimanapun, penyertaan pasaran kekal selektif dengan pelabur memberi tumpuan kepada sektor kukuh dan defensif secara asasnya, pada masa sama mengelakkan kedudukan yang agresif,” katanya kepada Bernama.
Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut enam sen kepada RM11.16, Public Bank merosot tiga sen kepada RM4.81, Tenaga Nasional naik enam sen kepada RM14.66, CIMB Group menambah dua sen kepada RM7.80 dan IHH Healthcare menguncup tiga sen kepada RM8.82.
Bagi saham aktif, VS Industry menokok dua sen kepada 22.5 sen, Zetrix AI susut setengah sen kepada 86 sen, Luster Industries tidak berubah pada empat sen, Mega Fortris menambah dua sen kepada RM1.31 dan AMS Advanced Material naik empat sen kepada 34.5 sen.
Antara saham paling untung, Malaysian Pacific Industries naik RM1.50 kepada RM37.84, Nestle meningkat RM1.30 kepada RM99.30, Vitrox Corp melonjak 54 sen kepada RM5.52, UWC menambah 42 sen kepada RM5.42 dan Press Metal menokok 35 sen kepada RM8.42.
Bagi saham paling rugi, Fraser & Neave merosot 40 sen kepada RM30.30, Chin Teck Plantations berkurangan 30 sen kepada RM10.80, Dutch Lady Milk Industries dan United Plantations kedua-duanya turun 26 sen masing-masing kepada RM32.60 dan RM32.32 dan Allianz Malaysia menguncup 22 sen kepada RM21.06.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 9.56 mata kepada 12,715.72, Indeks FBM Top 100 naik 2,37 mata kepada 12,548.30, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 21.25 mata kepada 12,586.61, Indeks FBM Mid 70 menokok 56.18 mata kepada 18,072.43 dan Indeks FBM ACE melonjak 16.65 mata kepada 4,652.32.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 59.42 mata kepada 20,222.81, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 2.40 mata kepada 192.36, Indeks Tenaga meningkat 2.22 mata kepada 830.31 dan Indeks Perladangan turun 35.26 mata kepada 8,845.26.
Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 1.80 bilion unit bernilai RM2.94 bilion daripada 1.76 bilion unit bernilai RM2.77 bilion pada Khamis.
Jumlah dagangan waran susut 1.02 bilion unit bernilai RM147.79 juta berbanding 1.21 bilion unit bernilai RM151.16 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE merosot kepada 396.83 juta unit bernilai RM160.00 juta daripada 508.12 juta unit bernilai RM178.82 juta minggu lepas.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 245.34 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, diikuti produk dan perkhidmatan perindustrian (435.33 juta), pembinaan (170.34 juta), teknologi (304.81 juta), perkhidmatan kewangan (63.36 juta), hartanah (185.02 juta), perladangan (28.51 juta), amanah pelaburan hartanah (11.77 juta), dana tertutup (31,000), tenaga (141.98 juta), penjagaan kesihatan (92.51 juta), telekomunikasi dan media (35.55 juta), pengangkutan dan logistik (40.25 juta), utiliti (50.02 juta) dan amanah perniagaan (232,800).
-- BERNAMA