Skip to main content

Bisnes

Bursa Malaysia ditutup tinggi susulan belian saham harga rendah pada saat akhir

61757402235_BursaMalaysia.jpg
Pada 5 petang, FBM KLCI naik 0.72 mata atau 0.04 peratus kepada 1,752.83 berbanding 1,752.11 ketika ditutup pada Khamis. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Aktiviti pembelian saham semasa harga rendah pada saat-saat akhir dalam beberapa saham wajaran tinggi terpilih terutama dalam kaunter kewangan mendorong Bursa Malaysia untuk ditutup tinggi pada Jumaat.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.72 mata atau 0.04 peratus kepada 1,752.83 berbanding 1,752.11 ketika ditutup pada Khamis.

Advertisement

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka meningkat 0.68 mata kepada 1,752.79 dan bergerak antara 1,746.08 hingga 1,754.20 sepanjang sesi dagangan.

Bagaimanapun, pasaran lebih luas adalah negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 702 berbanding 380 manakala 519 kaunter tidak berubah, 1,157 kaunter tidak diniagakan dan 24 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan lebih rendah kepada 2.03 bilion unit bernilai RM2.20 bilion berbanding 2.04 bilion unit bernilai RM2.52 bilion pada Khamis.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata penyusutan awal indeks petunjuk pasaran telah didorong oleh aktiviti pengambilan untung susulan kenaikan 0.62 peratus dalam tempoh semalaman serta sentimen risiko yang lemah berikutan ketidaktentuan geopolitik yang meningkat.

“Mengikut sektor, kaunter kewangan menerajui untung manakala sektor produk dan perkhidmatan pengguna memberi kesan kepada prestasi keseluruhan susulan aktiviti pengambilan untung dan pendekatan pelaburan yang lebih defensif.

"Dari segi aliran dana, pelabur asing telah menjadi pembeli bersih, menunjukkan minat global yang berterusan terhadap ekuiti Malaysia walaupun aktiviti perdagangan adalah perlahan," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik 16 sen kepada RM12.22 manakala Public Bank susut tiga sen kepada RM5.03. CIMB meningkat dua sen kepada RM8.49, Tenaga Nasional turun 10 sen kepada RM14.16 dan IHH Healthcare merosot tujuh sen kepada RM8.84.

Bagi saham paling aktif, Astro Malaysia menambah 2.5 sen kepada 10 sen. Zetrix AI susut dua sen kepada 83.5 sen manakala Tanco naik dua sen kepada RM1.46. Bina Puri dan Velesto kekal tidak berubah masing-masing pada 30 sen dan 31.5 sen.

Selain Maybank, antara kaunter paling untung adalah Nestle yang meningkat 20 sen kepada RM109.70, Fraser and Neave naik 18 sen kepada RM33.14, Chin Teck Plantations menokok 16 sen kepada RM10.72 dan Keyfield International menambah 13 sen kepada RM1.62.

Bagi kaunter paling rugi, PPB susut 24 sen kepada RM10.86, Malaysian Pacific Industries turun 20 sen kepada RM30.58, KSL Holdings merosot 19 sen kepada RM3.31, Hong Leong Bank susut 18 sen kepada RM24 dan Atlan Holdings rendah 13 sen kepada RM2.62.

Di papan indeks, Indeks FBM Top 100 rendah 10.58 mata kepada 12,667.89, Indeks FBM Emas  susut 13.69 mata kepada 12,846.78, Indeks FBM Mid 70 rendah 86.10 mata kepada 17,745.70, Indeks FBM Emas Shariah susut 35.50 mata kepada 12,368.29 dan Indeks FBM ACE menyusut 6.39 mata kepada 4,822.12.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 50.57 mata kepada 21,615.67, Indeks Perladangan naik 17.67 mata kepada 8,419.98, Indeks Tenaga menambah 1.77 mata kepada 775.88 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.44 mata kepada 178.06.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.27 bilion unit bernilai RM2.04 bilion berbanding 1.35 bilion unit bernilai RM2.37 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 514.93 juta unit bernilai RM62.36 juta berbanding 467.07 juta unit bernilai RM53.90 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 248.54 juta unit bernilai RM95.89 juta berbanding 227.62 juta unit bernilai RM97.82 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 174.75 juta saham diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (176.47 juta), pembinaan (104.18 juta), teknologi (182.29 juta), perkhidmatan kewangan (82.22 juta), hartanah (138.80 juta), perladangan (16.84 juta), amanah pelaburan hartanah (17.97 juta), dana tertutup (23,100), tenaga (111.16 juta), penjagaan kesihatan (56.81 juta), telekomunikasi dan media (152.90 juta), pengangkutan dan logistik (22.68 juta), utiliti (30.12 juta) dan amanah perniagaan (14,000).

-- BERNAMA

Must Watch Video