KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Berhad hari ini melancarkan Bursa Carbon Exchange (BCX)  bagi  Pasaran Karbon Sukarela (VCM) yang mematuhi syariah, pertama seumpamanya di dunia.

Dagangan BCX menerusi bidaan dijangka akan bermula pada Mac 2023.

VCM adalah inisiatif di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan dan Kementerian Alam Sekitar dan Air, manakala Bursa Malaysia Bhd diberikan mandat supaya melaksanakan VCM Exchange untuk menangani isu perubahan alam sekitar, iklim dan memacu kemajuan kewangan mampan.

Majlis hari ini dirasmikan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Nik Nazmi berkata banyak perkara yang telah dilakukan dan banyak lagi yang perlu dicapai termasuk memasukkan inisiatif iklim dalam rancangan pembangunan negara dan mempercepatkan lagi tindakan iklim.

“Keutamaan utama saya ialah Pelan Hala Tuju NDC dan LT-LEDS yang akan menentukan laluan kita ke arah Pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) sifar bersih.

“Penemuan daripada LT-LEDS akan membantu Kementerian dalam membangunkan dasar dan pelan tindakan yang sejajar dengan matlamat iklim negara” kata beliau.

Pasaran Karbon Sukarela (VCM) membolehkan syarikat memperdagangkan kredit karbon sukarela daripada projek mesra iklim dan penyelesaiannya dengan tujuan untuk mengimbangi jejak pelepasan dan mencapai mencapai matlamat iklim.

Sementara itu Pengerusi Bursa Malaysia Bhd, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata pasaran itu mempunyai potensi besar untuk membekalkan kredit karbon dengan 55 peratus  yang mampu memberi peluang kepada negara untuk menjana kredit karbon melalui penyelesaian yang berasaskan alam semula jadi.

Antara projek penyelesaian tersebut adalah penghutanan semula, penanaman semula hutan, pengelakan penebangan hutan, pengelakan kemerosotan, pemulihan gambut dan sebagainya.

“Pasaran karbon sukarela adalah penting untuk membantu dunia dalam memenuhi laluan kepada 1.5 darjah Celcius dan mempercepatkan peralihan kepada masa depan dengan karbon rendah.

“Kita mesti memerhatikan trend utama dan teliti setiap perkembang dalam pasaran karbon, terutamanya pasaran yang baru muncul dari COP27 baru-baru ini,” kata Wahid.

Di bawah Bursa Carbon Exchange (BCX), pemaju projek dan projek yang berminat boleh membekalkan kredit karbon mereka untuk bidaan.

Pada masa yang sama, ia terbuka juga untuk pembeli korporat yang ingin mengambil bahagian dalam bidaan dan membeli kredit karbon.

Malaysia menetapkan aspirasi untuk mencapai sasaran Pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) sifar bersih seawal-awalnya pada tahun 2050.