Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Kerajaan nilai model suruhanjaya reformasi undang-undang bersesuaian - Azalina

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman ketika menggulung perbahasan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman ketika menggulung perbahasan sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Kelima, Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA

Advertisement

Ringkasan AI

  • Kerajaan sedang menilai model Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Malaysia yang sesuai dengan struktur perundangan dan pentadbiran negara.
  • Penilaian turut mengambil kira amalan negara seperti England, Australia, New Zealand, Kanada dan India serta melibatkan konsultasi awam dan pelbagai pihak berkepentingan.
  • Penubuhan suruhanjaya ini bertujuan memastikan pembaharuan undang-undang dilaksanakan secara berterusan tanpa bergantung kepada individu atau pentadbiran kerajaan.

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang menilai model Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Malaysia yang bersesuaian dengan struktur perundangan dan pentadbiran negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata penilaian itu turut mengambil kira amalan di England dan Wales, Australia, New Zealand, Kanada serta India.

“Fungsi utama yang sedang dipertimbangkan bagi suruhanjaya ini termasuklah menyemak undang-undang lapuk, mengenal pasti percanggahan dan kelompangan perundangan serta memudahkan bahasa undang-undang,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2027 (Belanjawan 2027) Peringkat Dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Azalina berkata cadangan penubuhan suruhanjaya itu telah diberikan perhatian serius oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) sejak Ogos 2023 menerusi kajian awal yang meneliti fungsi, struktur dan model pelaksanaannya.

Katanya, suruhanjaya itu juga dicadangkan menjalankan penyelidikan dan kajian perbandingan, mengadakan konsultasi awam serta mengemukakan syor pembaharuan undang-undang secara bebas, termasuk membantu penyediaan draf RUU untuk pertimbangan kerajaan.

Beliau berkata kajian model suruhanjaya itu akan disusuli sesi libat urus bersama kementerian, agensi kerajaan, profesion undang-undang, ahli akademik dan masyarakat sivil.

Bagi menyelaraskan usaha itu, satu Jawatankuasa Pemandu Kajian Penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Malaysia turut dicadangkan untuk ditubuhkan dan dipengerusikan oleh beliau, dengan penglibatan agensi pusat serta kementerian berkaitan.

“Hasil kajian dan syor yang dimuktamadkan akan dibawa untuk pertimbangan Jemaah Menteri sebelum perkembangan selanjutnya dimaklumkan kepada Dewan Rakyat,” katanya.

Azalina berkata penetapan dasar dicadangkan kekal di bawah kementerian dan Jemaah Menteri, manakala urusan penggubalan undang-undang secara rasmi akan terus diselaraskan dengan Jabatan Peguam Negara.

“Penubuhan suruhanjaya ini penting bagi memastikan usaha pembaharuan undang-undang dilaksanakan secara berterusan dan tidak bergantung kepada mana-mana individu atau pentadbiran kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada 9 Okt lepas berkata kerajaan mengkaji penubuhan Suruhanjaya Reformasi Undang-Undang Malaysia bagi mengenal pasti undang-undang lapuk dan jurang perundangan.

Sementara itu, Azalina berkata Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 (Akta 869) yang berkuat kuasa pada 1 Okt lepas untuk mengembalikan autonomi pentadbiran Parlimen selepas hampir tiga dekad, merupakan antara bukti komitmen Kerajaan Perpaduan dalam melaksanakan reformasi.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement