KUALA LUMPUR: Seramai 25,592 pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta 1,248 aset jabatan itu berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) 2026/2027 yang dijangka bermula esok hingga Mac tahun depan.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata jabatan itu memperkukuh perancangan operasi menerusi penyediaan anggota, kesiapsiagaan aset dan logistik serta penempatan sumber secara strategik bagi menghadapi kemungkinan bencana sepanjang tempoh berkenaan.
Beliau berkata pada fasa awal MTL dari November ini hingga Januari depan, sebanyak tiga hingga lima episod hujan lebat berterusan dijangka berlaku, sekali gus meningkatkan risiko banjir di kawasan rendah dan berhampiran sungai.
Menurutnya, keadaan itu juga berpotensi menyebabkan laut bergelora dan kenaikan paras laut di perairan Laut China Selatan berikutan tiupan angin timur laut yang berterusan.
“Keutamaan kami adalah keselamatan rakyat. JBPM sudah merangka strategi tindak balas menyeluruh yang merangkumi aspek pencegahan dan mitigasi, perancangan serta kesiapsiagaan, tindak balas kecemasan dan pemulihan pascabencana,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata dalam merancang kesiapsiagaan operasi, JBPM mengambil kira 3,682 lokasi titik panas banjir yang dikenal pasti di seluruh negara berdasarkan data Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Nor Hisham berkata data berkenaan dijadikan panduan untuk menentukan keutamaan penempatan anggota dan aset berdasarkan tahap risiko serta keperluan di lapangan.
Bagi mempercepat tindakan di kawasan berisiko, sebanyak 29 Pasukan Gerak Cepat (PGC) digerakkan, manakala pangkalan operasi hadapan atau Regional Forward Base (RFB) di Pulau Pinang, Terengganu dan Johor dioperasikan bagi memudahkan pergerakan anggota serta aset ke lokasi yang memerlukan bantuan.
Dari segi keanggotaan, Nor Hisham berkata kesiapsiagaan operasi JBPM membabitkan 13,631 Pegawai Sepenuh Masa (PSM), 2,227 Pegawai Bomba Bantuan (PBB), 8,956 anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan 62 petugas kejuruteraan.
“Pembekuan cuti antara 80 hingga 100 peratus turut dilaksanakan mengikut keperluan operasi, khususnya di negeri yang berisiko terjejas, bagi memastikan kekuatan anggota mencukupi,” katanya.
Beliau berkata pasukan respons pantas turut diperkukuh menerusi penglibatan Perkhidmatan Respons Perubatan Kecemasan (EMRS) dan Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bagi menyediakan bantuan perubatan kecemasan serta melaksanakan operasi menyelamat mangsa banjir.
“JBPM turut menyediakan 571 kenderaan angkut ringan, 144 kenderaan angkut berat dan 529 aset marin, selain empat helikopter serta tiga unit dron bagi menyokong operasi menyelamat.
“Sebanyak 150 bot komuniti juga disediakan bagi membantu penduduk setempat melaksanakan tindakan awal ketika kecemasan dengan mengambil kira aspek keselamatan,” katanya.
Sementara itu, Nor Hisham berkata JBPM turut memberi perhatian terhadap perubahan cuaca yang dijangka berlaku pada fasa akhir MTL, dari Januari hingga Mac depan, apabila taburan hujan diramalkan berkurangan, khususnya di utara Semenanjung dan Sabah.
Beliau berkata pengaruh fenomena El Niño yang sangat kuat pula berpotensi meningkatkan keadaan panas dan kering serta risiko gelombang haba yang lebih ekstrem.
“JBPM akan terus memperkukuh kesiapsiagaan dan kerjasama dengan agensi berkaitan bagi memastikan operasi menyelamat serta bantuan kecemasan dapat dilaksanakan dengan cekap dan berkesan demi melindungi nyawa, keselamatan orang awam dan harta benda sepanjang MTL 2026/2027,” katanya.
-- BERNAMA