Skip to main content
Advertisement

Malaysia

KTMB tawar 11,888 tempat duduk tambahan sempena Deepavali

Menurut KTMB, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan KTMB dalam meningkatkan kapasiti perkhidmatan pengangkutan rel. - Gambar fail
Menurut KTMB, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan KTMB dalam meningkatkan kapasiti perkhidmatan pengangkutan rel. - Gambar fail

Advertisement

KUALA LUMPUR: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menawarkan 11,888 tempat duduk tambahan bagi perkhidmatan tren bersempena dengan sambutan Deepavali yang bakal tiba.

Dalam kenyataan hari ini, KTMB memaklumkan bagi tempoh 5 hingga 9 Nov pihaknya menawarkan dua perkhidmatan tren elektrik (ETS) tambahan bagi laluan Padang Besar-KL Sentral-Padang Besar dan empat perkhidmatan ETS tambahan bagi laluan JB Sentral-KL Sentral-JB Sentral setiap hari mulai 6 hingga 9 Nov.

“Bagi laluan Padang Besar-KL Sentral-Padang Besar, 3,160 tempat duduk tambahan ditawarkan, termasuk kemudahan koc kelas perniagaan disediakan sepanjang lima hari pengoperasian. Penjualan tiket bagi perkhidmatan ini akan dibuka pada 27 Okt, mulai 12 tengah hari. 

“Sementara itu, bagi laluan JB Sentral-KL Sentral-JB Sentral, KTMB menyediakan 5,056 tempat duduk tambahan menerusi empat perkhidmatan ETS setiap hari dari 6 hingga 9 Nov. Penjualan tiket bagi laluan ini telah dibuka lebih awal, iaitu sejak 7 Sept lepas,” menurut kenyataan itu.

Selain perkhidmatan ETS, KTMB turut menawarkan 3,672 tempat duduk menerusi perkhidmatan EMUPlus yang melibatkan laluan Bandar Tasek Selatan-Ipoh-Klang dan sebaliknya, pada tarikh tertentu antara 5 hingga 9 Nov, dengan penjualan tiket akan dibuka esok, mulai 12 tengah hari.

Menurut KTMB, inisiatif itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan KTMB dalam meningkatkan kapasiti perkhidmatan pengangkutan rel, khususnya ketika musim perayaan yang lazimnya menyaksikan peningkatan permintaan perjalanan antara bandar.

“Diharapkan perkhidmatan tambahan ini dapat memberikan perjalanan yang lebih lancar, selesa dan selamat kepada pengguna,” menurut kenyataan itu.

Pengguna boleh mendapatkan tiket melalui aplikasi KTMB Mobile, KITS Style atau laman sesawang rasmi KTMB www.ktmb.com.my bagi pembelian tanpa tunai yang lebih mudah dan pantas.

KTMB turut menasihati pengguna merancang perjalanan dan membuat pembelian tiket lebih awal bagi menikmati tambang fleksi yang lebih menjimatkan serta mengelakkan pembelian pada saat akhir.

Maklumat lanjut layari laman sesawang KTMB di pautan http://www.ktmb.com.my/ atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement