KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka mendatar pada Jumaat di tengah-tengah pasaran yang lengang menjelang cuti akhir minggu yang panjang bersempena dengan Tahun Baharu Cina.

Pada 9.11 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 0.05 mata kepada 1,512.31 berbanding 1,512.36 semasa ditutup pada Khamis.

Indeks baramoter dibuka meningkat 1.46 mata kepada 1,513.82.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi dan untung berada pada 148 berbanding 145, manakala 214 kaunter tidak berubah, 1,780 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 168.88 juta unit bernilai RM49.76 juta.

Hong Leong Investment Bank dalam nota hari ini berkata FBM KLCI mungkin berubah-ubah menghampiri paras sokongan 1,500-1,510 sebelum meningkat ke arah rintangan 1,528-1,548, menjelang perayaan Tahun Baharu Cina.

"Sentimen pasaran juga dijangka kekal berhati-hati berikutan kebimbangan yang berlarutan mengenai pendirian dasar yang terbatas oleh Rizab Persekutuan AS, ketidaktentuan mengenai kemampanan peningkatan semula pasaran saham China, dan jangkaan terhadap keputusan syarikat korporat tempatan selepas Tahun Baharu Cina," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Petronas Gas masing-masing menokok dua sen kepada RM9.28 dan RM17.80

Hong Leong Bank meningkat empat sen kepada RM19.04, Press Metal naik satu sen kepada RM4.63, CIMB, TNB dan Petronas Chemicals masing-masing tidak berubah pada RM6.23, RM10.78 dan RM6.71, manakala Public Bank turun satu sen kepada RM4.36 dan IHH Healthcare merosot dua sen kepada RM6.11.

Bagi saham aktif, Revenue naik setengah sen kepada 21 sen, Dataprep menokok 2.5 sen kepada 15.5 sen dan Tex Cycle menambah 1.5 sen kepada 71 sen.

DC Healthcare menokok satu sen kepada 32.5 sen manakala TWL Holdings, Reneuco dan Destini masing-masing tidak berubah pada empat sen, tujuh sen dan 5.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 1.19 mata kepada 11,235.12, Indeks FBMT 100 naik 0.82 mata kepada 10,898.30, Indeks FBM 70 menokok 6.19 mata kepada 15.175.42, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 3.54 mata kepada 11,269.37, dan Indeks FBM ACE menambah 11.34 mata kepada 4,783.15.

Mengikut sektor, Indeks Hartanah meningkat 0.41 mata kepada 905.51, Indeks Perladangan naik 8.25 mata kepada 7,206.16 dan Indeks Tenaga menambah 3.53 mata kepada 884.23.

Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 12.55 mata kepada 16,929.44 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.04 mata kepada 172.27

-- BERNAMA