KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia kembali pulih pagi ini dan dibuka lebih tinggi seiring prestasi pasaran Asia lain selain mengambil petunjuk daripada peningkatan Wall Street pada Jumaat lepas, kata seorang penganalisis.

Pada 9.05 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 6.36 mata kepada 1,459.91 daripada 1,453.55 penutup Jumaat.

Indeks utama dibuka pada 1,458.77, meningkat 5.22 mata.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 235 berbanding 88, manakala 228 kaunter tidak berubah, 1,668 tidak diniagakan dan 11 yang lain digantung.

Jumlah dagangan yang dicatatkan adalah sebanyak 124.93 juta unit bernilai RM545.91 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, sentimen berhati-hati kemungkinan berterusan menjelang pengumuman data ekonomi utama Amerika minggu ini, yang mungkin menjejaskan prospek kadar faedah AS.

"Bagaimanapun, pasaran telah pun mengambil kira harga bagi data pembuatan ISM yang kukuh di Amerika Syarikat, yang mana ia sepatutnya menyumbang kepada sekurang-kurangnya persekitaran dagangan jangka pendek yang positif," katanya dalam nota hari ini.

Selain itu, firma itu turut menambah pelabur akan terus menantikan keputusan kadar faedah Bank Negara Malaysia minggu ini.

Sementara itu, minyak mentah Brent meningkat melebihi paras US$85 setong, manakala harga minyak sawit mentah (MSM) melonjak melebihi RM4,350.

Kaunter wajaran tinggi, Petronas Chemicals menokok dua sen kepada RM7.28, Tenaga Nasional menambah empat sen menjadi RM9.44 manakala IHH Healthcare meningkat lima sen kepada RM5.94.

Hong Leong Bank pula kekal pada RM20.58 dan CelcomDigi turun satu sen kepada RM4.33.

Dalam kalangan saham aktif, SMRT Holdings menokok empat sen kepada 53 sen, Velesto Energy meningkat satu sen menjadi 22.5 sen, Lion Industries dan Pharmaniaga masing-masing memperoleh setengah sen kepada 11 sen dan 28 sen, manakala Boustead tidak berubah pada 85.5 sen. .

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 44.69 mata kepada 10,633.12, Indeks FBM 70 meraih 44.92 mata kepada 13,491.53 dan Indeks FBM ACE meningkat 40.23 mata kepada 5,466.96.

Indeks FBMT 100 meningkat 42.43 mata kepada 10,312.19 dan Indeks FBM Emas Syariah peroleh 46.22 mata kepada 10,860.26.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 64.78 mata kepada 16,228.52, Indeks Perladangan meningkat 28.65 mata kepada 6,859.65 dan Indeks Tenaga memperoleh 7.18 mata kepada 878.91.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.76 mata kepada 178.41.

-- BERNAMA