KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia memulakan dagangan Rabu dengan lebih positif, menjejaki petunjuk daripada prestasi semalaman pasaran ekuiti Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.

Pada 9.07 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.75 mata kepada 1,449.77 daripada paras 1,448.02 pada akhir dagangan semalam.

Indeks penanda aras itu dibuka mengukuh 0.61 mata kepada 1,448.63.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi untung pada angka amat rapat iaitu 161 berbanding 160 manakala 257 kaunter tidak berubah, 1,801 tidak diniagakan dan 85 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan adalah sebanyak 201.25 juta unit bernilai RM78.76 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata Wall Street mengakhiri dagangan semalaman di wilayah positif berikutan kenyataan daripada seorang pegawai Rizab Persekutuan AS (Fed) bahawa dasar semasa berkemungkinan sudah memadai dalam meredakan pertumbuhan ekonomi dan membendung inflasi, sekali gus menyuntik harapan untuk melihat berakhirnya kitaran kenaikan kadar faedah itu.

Berikutan itu, Purata Perindustrian Dow Jones meningkat 0.24 peratus dan Komposit Nasdaq menokok 0.29 peratus apabila hasil Perbendaharaan 10 tahun AS susut ke paras 4.32 peratus.

Di Hong Kong, Indeks Hang Seng merosot 0.98 peratus pada Selasa berikutan kebimbangan terhadap pertumbuhan pendapatan korporat di masa akan datang.

Malah, terdapat kebimbangan baharu mengenai kualiti aset bank China berikutan kemungkinan pelaksanaan langkah pinjaman bagi menyokong sektor hartanah tempatan.

Di peringkat tempatan, FBM KLCI berakhir lebih mendatar semalam akibat sokongan belian saat-saat akhir di tengah-tengah hari dagangan yang kurang memberangsangkan.

"Bagaimanapun, kami yakin bursa tempatan itu akan menyaksikan beberapa aktiviti belian berikutan petunjuk positif daripada jangkaan kadar faedah lebih rendah. Oleh itu, kami menjangkakan indeks itu bergerak di paras julat 1,450-1,460," katanya kepada Bernama.

Bagi saham wajaran tinggi, Public Bank, Axiata Group dan Maxis masing-masing naik 2.0 sen kepada RM4.24, RM2.37 dan RM3.99 manakala Sime Darby Plantation meningkat 3.0 sen kepada RM4.54, PPB meraih 10 sen kepada RM14.16 dan Maybank untung 1.0 sen kepada RM9.06.

Saham paling aktif menyaksikan CSH turun setengah sen kepada 5.5 sen, Jaks Resources dan Hong Seng masing-masing tidak berubah pada 19.5 sen dan 2.5 sen manakala Panda Eco naik 1.0 sen kepada 28 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas menokok 14.34 mata pada 10,736.91, Indeks FBMT 100 naik 14.16 mata kepada 10,400.71 manakala Indeks FBM Emas Shariah meraih 13.37 mata kepada 10,906.30.

Indeks FBM 70 melonjak 26.40 mata kepada 14,288.57 manakala Indeks FBM ACE susut 20.63 mata kepada 5,063.58.

Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 34.29 mata kepada 16,312.20, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian sebaliknya susut 0.23 mata kepada 171.47, Indeks Tenaga menokok 2.78 mata kepada 824.69 manakala Indeks Perladangan meningkat 19.59 mata kepada 7,026.16.

-- BERNAMA