KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah sedikit hari ini, namun pemulihan dalam saham wajaran tinggi terpilih telah sedikit sebanyak mengehadkan kerugian yang dialami.

Pada 9.25 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 0.23 mata kepada 1,418.77 daripada 1,419.00 pada penutup semalam.

Indeks barometer dibuka pada paras 1,418.32, turun 0.68 mata.

Pasaran yang lebih luas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 200 berbalas 171, manakala 280 kaunter tidak berubah, 1,608 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 292.07 juta unit bernilai RM131.07 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya, dengan penyambungan semula perbincangan mengenai siling hutang di Amerika Syarikat (AS), sentimen pasaran dijangka bertambah baik sekurang-kurangnya dalam tempoh terdekat.

"Selain itu, aktiviti pengimbangan semula FBM KLCI akan bermula tidak lama lagi dan mungkin memberi kesan kepada pergerakan saham wajaran tinggi.

"Dari segi komoditi, minyak mentah Brent kekal melebihi paras US$75 setong, manakala harga minyak sawit mentah berlegar sekitar RM3,400 satu tan. Harga emas pula kekal di bawah US$2,000 setiap auns," katanya.

"Sementara itu, kami memilih sektor tenaga, telekomunikasi dan utiliti menjelang pengumuman keputusan kewangan suku tahunan korporat. Selain itu, kami berpendapat saham penerbangan dijangka didagangkan lebih tinggi selepas AirAsia X (AAX) berjaya mengumpul dana," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah 7.0 sen kepada RM8.65, Petronas Chemicals meningkat 5.0 sen untuk mencatatkan harga RM7.01 manakala Tenaga Nasional dan CIMB Group masing-masing turun 4.0 sen kepada RM9.56 dan RM5.01.

Public Bank, bagaimanapun, tidak berubah pada RM3.95.

Bagi kaunter aktif, Revenue Group dan Bahvest Resources meningkat setengah sen setiap satu kepada 30.5 sen dan 16.0 sen, Pharmaniaga meraih 4.0 sen kepada 39.0 sen, Autocount Dotcom memperoleh 1.0 sen kepada 68.0 sen manakala Tanco tidak berubah pada 52.0 sen .

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 0.72 mata menjadi 10,415.15, Indeks FBMT 100 susut 0.67 mata kepada 10,113.79 dan Indeks FBM Emas Syariah menguncup 7.89 mata kepada 10,781.27.

Indeks FBM 70 menambah 3.14 mata kepada 13,623.83 manakala Indeks FBM ACE turun 30.76 mata kepada 4,924.77.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mengembang 0.35 mata kepada 165.43, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 13.57 mata kepada 15,502.20, Indeks Perladangan susut 26.56 mata kepada 7,001.73 dan Indeks Tenaga menguncup 2.87 mata kepada 839.06.

-- BERNAMA