KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd mengumumkan pengukuhan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama dan Pasaran ACE yang bertujuan untuk meningkatkan lagi kebebasan, kualiti dan kepelbagaian lembaga pengarah.

Bursa itu berkata untuk meningkatkan kualiti dan kebebasan lembaga, Keperluan Penyenaraian yang dipertingkatkan kini mengehadkan tempoh pengarah bebas kepada tidak lebih daripada tempoh kumulatif 12 tahun dalam penerbit tersenarai (PLC) dan kumpulan perbadanannya.

"Semua pengarah bebas yang telah lama berkhidmat yang terlibat dalam penyelarasan ini perlu meletakkan jawatan atau dilantik semua sebagai pengarah bukan bebas menjelang 1 Jun, 2023," kata Bursa Malaysia dalam satu kenyataan semalam.

Pengukuhan utama lain adalah PLC dengan permodalan pasaran RM2 bilion sehingga 31 Dis, 2021, dikehendaki untuk melantik sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita ke dalam lembaga pengarah menjelang 1 Sept, 2022, seperti yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam Bajet 2022.

Bagi PLC lain, ia berkata, keperluan itu perlu dipatuhi menjelang 1 Jun, 2023.

Selain itu, bursa juga memperkenalkan peraturan baharu yang memerlukan PLC menyediakan dasar yang sesuai dan wajar sebagai persediaan bagi pelantikan dan pemilihan semula pengarah dalam kumpulan PLC yang mesti disiarkan di laman web PLC bermula 1 Julai, 2022.

"PLC juga dikehendaki mendedahkan pelaksanaan dasar yang sesuai dan wajar dalam pencalonan dan pemilihan para pengarah dalam laporan tahunan mereka.

"Ini bertujuan menambah baik keseluruhan kualiti pengarah dan menggalakkan ketelusan lebih tinggi bagi kriteria pelantikan lembaga," kata Bursa Malaysia.

Mengulas mengenai perkara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Muhamad Umar Swift berkata pemindaan ini akan menjadi pendorong bagi PLC untuk menyusun semula komposisi lembaga pengarah mereka dengan tumpuan utama kepada kualiti, kepelbagaian dan kebebasan, yang seterusnya akan meningkatkan kedinamikan lembaga.

Maklumat lanjut mengenai pindaan Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama itu boleh didapati dihttps://www.bursamalaysia.com/regulation/listing_requirements/main_market/amendments_to_listing_requirements and amended ACE Market Listing Requirements can be read at https://www.bursamalaysia.com/regulation/listing_requirements/ace_market/amendments_to_listing_requirements.

-- BERNAMA