KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia susut dalam dagangan awal Selasa, susulan aktiviti pengambilan untung berikutan peningkatan semalam selain sentimen bercampur-campur dalam pasaran serantau, kata seorang peniaga.

Pada 9.16 pagi ini, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 1.62 mata kepada 1,543.09 daripada 1,544.71 di akhir dagangan semalam.

Indeks petunjuk utama itu sebelumnya dibuka menokok 0.24 mata kepada 1,544.95.

Di pasaran meluas, kauter rugi mengatasi untung iaitu 208 berbanding 201 manakala 328 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,533 tidak diniagakan dan 12 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 424.31 juta unit bernilai RM155.39 juta.

Sementara itu, Malacca Securities berkata berdasarkan prestasi semalaman Wall Street yang lebih neutral, berkemungkinan menyaksikan minat belian di pasaran tempatan di tahap sederhana pada hari ini.

"Kami percaya pengumuman data Indeks Harga Pengguna dan Indeks Harga Pengeluar Amerika Syarikat (pada lewat minggu ini) berkemungkinan mempengaruhi prospek kadar faedah di negara itu.

"Selain itu, kami juga menjangkakan sokongan belian di pasaran meluas akan berterusan walaupun pada tahap lebih sederhana.

"Perkembangan lain adalah niaga hadapan bijih besi yang merosot ketara sejak 2022 berikutan lambakan inventori di China yang mungkin menjurus kepada potensi sokongan belian dalam saham berkaitan besi dan logam," katanya dalam nota penyelidikan.

Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank turun 2.0 sen kepada RM9.80; CIMB rugi 1.0 sen kepada RM6.66; Public Bank meraih 1.0 sen kepada RM4.31 manakala Tenaga Nasional dan Petronas Chemicals masing-masing tidak berubah pada RM11.24 dan RM6.85.

Bagi saham aktif, Hong Seng tidak berubah pada 2.0 sen; Pan Malaysia meraih 2.0 sen kepada 16 sen; YNH Property naik 3.0 sen kepada 53 sen manakala Microlink susut 11 sen kepada 42 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas turun 5.07 mata kepada 11,448.31; Indeks FBMT 100 berkurangan 3.86 mata kepada 11,116.65; Indeks FBM ACE menokok 0.97 mata kepada 4,699.61; Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 3.04 mata kepada 11,447.63 manakala Indeks FBM 70 melonjak 26.86 mata kepada 15,465.15.

Prestasi sektor menyaksikan Perkhidmatan Kewangan turun 8.57 mata kepada 17,396.08; Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.63 mata kepada 174.78 manakala Indeks Tenaga naik 0.15 mata kepada 894.76 dan Indeks Perladangan menokok 3.22 mata kepada 7,306.16.

-- BERNAMA