KOTA BHARU: Institut Silat Seni Gayong (ISG) Malaysia mencipta sejarah apabila menjadi institusi pertama di negara ini yang menerima pentauliahan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) bagi program latihan seni bela diri berasaskan silat gayong.
Ketua Pengarah JPK Dr Kamaruzaman Md Ali berkata pentauliahan itu diberikan kepada Pusat Pengajian ISG Malaysia dan rakan industrinya Amru Ventures bagi melaksanakan program pensijilan kemahiran menerusi pendekatan Akademi Dalam Industri (ADI).
Advertisement
“Menerusi pendekatan ini, kira-kira 20 hingga 30 peratus latihan dilaksanakan di institusi manakala 70 hingga 80 peratus lagi dijalankan dalam persekitaran industri sebenar.
“Dalam konteks ini, ISG Malaysia akan melaksanakan latihan di institusi manakala Amru Ventures pula mengendalikan komponen latihan industri dengan fokus kepada bidang seni bela diri khususnya silat gayong,” katanya selepas Majlis Penyampaian Sijil Pentauliahan ADI kepada Pusat Pengajian ISG Malaysia dan Amru Ventures, Kok Lanas di sini hari ini.
Kamaruzaman berkata pentauliahan itu menjadikan silat gayong sebagai seni pertahanan diri pertama yang distrukturkan mengikut Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) di bawah sistem pensijilan JPK.
“Sebelum ini belum ada institusi latihan yang memohon pensijilan rasmi bagi program seni bela diri mengikut struktur NOSS, walaupun kurikulum asas sedia ada telah wujud dalam pelbagai disiplin seperti silat, karate dan taekwondo.
“Bagi memastikan kelulusan pentauliahan, empat aspek utama dinilai, iaitu premis latihan, tenaga pengajar, kurikulum berstruktur termasuk penilaian serta peralatan latihan,” katanya, sambil memberitahu pensijilan JPK itu diiktiraf di peringkat kebangsaan.
Beliau berkata pelaksanaan program itu dijangka membuka peluang kerjaya kepada pelatih sebagai jurulatih, pengajar atau profesional dalam industri kecergasan dan keselamatan.
-- BERNAMA