Skip to main content

Malaysia

Pelajar Tingkatan Satu maut dirempuh ketika pakai kasut di depan surau sekolah

Pelajar Tingkatan Satu (Nur Fatimatul Hawa) maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika sedang memakai kasut di hadapan surau di sebuah sekolah di Kota Bharu pada Ahad.
Pelajar Tingkatan Satu (Nur Fatimatul Hawa) maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika sedang memakai kasut di hadapan surau di sebuah sekolah di Kota Bharu pada Ahad. -Foto Sinar Harian

KOTA BHARU: Seorang pelajar Tingkatan Satu maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta ketika sedang memakai kasut di hadapan surau di sebuah sekolah di sini pada Ahad.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mangsa, Nur Fatimatul Hawa Mohd Azaudin, 13, meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah.

Advertisement

Abang mangsa, Muhammad Ali Mustaqim, 15, yang belajar di sekolah yang sama memberitahu dia dimaklumkan kejadian itu berlaku selepas adiknya selesai menunaikan solat Zohor.

“Saya berada di luar sekolah sambil menunggu rakan untuk pulang bersama.

“Kemudian ada rakan datang beritahu adik dilanggar sebuah kereta di depan surau sekolah,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (Hospital Pakar USM) di sini pada Ahad.

Menurut anak kedua daripada empat beradik itu, dia terus memeluk jenazah adiknya yang ketika itu berada di tangga surau.

Ujarnya, dia dimaklumkan kereta yang melanggar adiknya itu diparkir di depan surau tersebut.

Dalam pada itu, bapa mangsa, Mohd Azaudin Abdullah, 43, memberitahu mangsa ialah anak ketiga daripada empat beradik dan dua anaknya bersekolah di sekolah yang sama.

Katanya, ketika kejadian dia berada di tempat kerja sebelum dihubungi adik iparnya sambil menangis dan meminta dia ke sekolah berkenaan.

“Tiba di sana saya melihat anak sudah terbaring kaku dan ditempatkan di surau. Ketika itu saya sangat terkejut dan tergamam melihat jenazah anak,” katanya.

Menurutnya, pihak sekolah memaklumkan anaknya sudah meninggal dunia.

“Namun, tidak dimaklumkan oleh pihak sekolah berhubung kejadian lanjut termasuk siapa yang melanggar anak saya.

“Arwah ialah anak ketiga dan kesemua anak saya tinggal bersama adik ipar selepas kematian isteri sejak lima tahun lalu,” katanya.

Beliau memberitahu, sejak kematian isteri, mereka sekeluarga akan berjumpa dua kali seminggu di rumah adik iparnya.

Ujarnya, jenazah anak perempuannya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Tanjong Mas selepas selesai bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Azmir Damiri ketika dihubungi mengesahkan kejadian. -Sinar Harian

Must Watch Video