KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia Bhd mengumumkan pelantikan Datin Azlina Mahmad sebagai Pengarah Berkepentingan Awam ke Lembaga Pengarahnya berkuat kuasa pada 16 Mac, 2021.

Jawatan tersebut merupakan lantikan oleh Menteri Kewangan mengikut peruntukan Seksyen 10(1)(a) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007.

Menerusi kenyataan pada Isnin, Bursa Malaysia berkata Azlina memulakan kerjaya di J.P. Morgan Chase Bank Bhd pada 1989 dan seterusnya menyandang pelbagai jawatan daripada penganalisis hingga ahli perbankan kanan meliputi pelanggan korporat dan institusi utama di Malaysia sebelum bersara pada 2 Mac, 2021.

Beliau merupakan lepasan dua program ijazah sarjana muda University of Pennsylvania, Amerika Syarikat iaitu Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kewangan daripada Wharton School of Business dan Ijazah Sarjana Muda Sastera bagi Ekonomi daripada College of Arts and Sciences.

"Azlina membawa bersama 30 tahun pengalaman luas beliau dalam bidang perbankan ke Lembaga Pengarah Bursa Malaysia. Pelantikan beliau akan memberi panduan bagi membolehkan pembangunan pasaran yang berkembang pesat," kata Bursa Malaysia.

Setakat 16 Mac, 2021, barisan ahli Lembaga Pengarah Bursa Malaysia adalah seperti berikut:

1. Tan Sri Abdul Wahid Omar

Pengerusi, Pengarah Berkepentingan Awam dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif;

2. Datuk Muhamad Umar Swift

Ketua Pegawai Eksekutif, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas;

3. Datuk Anad Krishnan a/l Muthusamy

Pengarah Berkepentingan Awam dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif

4. Puan Sharifatu Laila Syed Ali

Pengarah Berkepentingan Awam dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif

5. Datin Azlina Mahmad

Pengarah Berkepentingan Awam dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif

6. Datuk Karownakaran @ Karunakaran a/l Ramasamy

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Kanan;

7. Pushpanathan a/l S.A. Kanagarayar

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif;

8. Datin Grace Yeoh Cheng Geok

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif;

9. Chong Chye Neo

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif;

10. Uji Sherina Abdullah

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif;

11. Datuk Bazlan Osman

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif; dan

12. Syed Ari Azhar Syed Mohamed Adlan

Pengarah Bebas Bukan Eksekutif.

-- BERNAMA