MANILA: Presiden Filipina Ferdinand R. Marcos Jr. pada Isnin mengarahkan semua agensi berkaitan menggerakkan operasi bantuan dan pemantauan susulan gempa bumi kuat di luar pesisir Sarangani yang mencetuskan amaran tsunami di beberapa wilayah pesisir di Mindanao, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Dalam satu kenyataan, Marcos berkata Pejabat Pertahanan Awam (OCD) dan Majlis Pengurangan Risiko Bencana dan Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDRRMC) sedang menyelaras operasi tindak balas kecemasan di kawasan terjejas.
Beliau turut mengarahkan Jabatan Kebajikan Sosial dan Pembangunan (DSWD) menempatkan bekalan bantuan lebih awal serta memastikan pusat pemindahan bersedia menerima penduduk yang mungkin terjejas akibat bencana itu.
Selain itu, Jabatan Kerja Raya dan Lebuh Raya (DPWH) diarahkan bersiap siaga untuk menilai kerosakan dan membersihkan jalan raya, jambatan serta laluan penting yang diperlukan bagi operasi menyelamat dan penghantaran bantuan.
Marcos juga mengumumkan penggantungan sesi persekolahan di semua peringkat di kawasan terjejas di Mindanao sehingga diberitahu kelak.
“Keselamatan anak-anak kita adalah yang paling utama,” katanya sambil memaklumkan bahawa Jabatan Pendidikan (DepEd) akan menyelaras pelaksanaan arahan itu bersama pihak berkuasa tempatan.
Beliau turut menggesa penduduk di kawasan yang menerima amaran tsunami supaya segera berpindah ke kawasan lebih tinggi dan mematuhi arahan pihak berkuasa.
“Kepada rakyat kami di wilayah yang terjejas, sila patuhi amaran tsunami. Segera bergerak ke kawasan lebih tinggi. Jangan tunggu. Nyawa anda lebih berharga daripada apa sahaja yang ditinggalkan,” katanya.
Marcos turut memberi jaminan bahawa kerajaan pusat sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan tempatan dan pejabat wilayah bagi memastikan segala keperluan penduduk yang terjejas dapat ditangani dengan segera.
Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter berlaku pada 7.37 pagi Isnin di luar pesisir wilayah Sarangani.
Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina memaklumkan pusat gempa terletak 32 kilometer di barat bandar Maasim pada kedalaman 33 kilometer.
-- BERNAMA-PNA