KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan simpati Malaysia terhadap rakyat Filipina yang terjejas akibat gempa bumi kuat yang melanda perairan selatan Filipina awal pagi tadi.
Beliau berkata, Malaysia bersedia menghulurkan sebarang bantuan yang diperlukan.
“Fikiran dan doa kami bersama rakyat Filipina. Malaysia bersedia memberikan apa jua bantuan yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada masa sama, Anwar turut mengambil maklum kesan gegaran yang dirasai di beberapa kawasan di Sabah susulan kejadian tersebut.
Menurut beliau, kerajaan sedang memantau perkembangan situasi itu secara rapi, manakala pasukan perkhidmatan kecemasan berada dalam keadaan bersiap siaga sepenuhnya.
“Saya ingin memberi jaminan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa kerajaan sedang memantau keadaan dengan teliti dan perkhidmatan kecemasan berada pada tahap kesiapsiagaan penuh,” katanya.
Anwar berkata, Malaysia dan Filipina mempunyai hubungan persahabatan yang rapat serta merupakan rakan dalam ASEAN.
Beliau turut mendoakan keselamatan dan kesejahteraan semua mangsa yang terjejas serta berharap mereka diberikan kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi saat sukar itu.
Gempa bumi kuat berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Mindanao, pada 7.37 pagi tadi pada kedalaman 50 kilometer dengan pusat gempa terletak pada latitud 5.7 darjah utara dan longitud 125.1 darjah timur.
Berikutan itu, satu amaran tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda kawasan pantai di Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu antara 10.30 pagi dan 12 tengah hari ini.