Cadangan penggabungan antara CIMB Group Holdings Bhd, RHB Capital Bhd dan Malaysia Building Society Bhd, bakal mengubah industri kewangan kerana ia akan mewujudkan sebuah bank Islam mega, kata Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Datuk Seri Nazir Razak.

Beliau berkata, industri kewangan Islam memerlukan masa untuk menggambarkan hala tujunya kerana terdapat terlalu banyak obsesi terhadap isu-isu bukan riba atau bukan faedah dan lebih tumpuan perlu diberi ke atas prinsip-prinsip Syariah, daripada isu faedah.

Semasa menyatakan kewangan Islam kini terlalu memberi tumpuan kepada penerbitan sukuk global dan pinjaman korporat untuk membolehkan pinjaman lebih murah, beliau berkata: "Bagi saya, kewangan Islam boleh menambah nilai, jika boleh ke bawah dan membolehkan mereka yang boleh mendapatkan pembiayaan,
mendapatkan pembiayaan."

Beliau berkata kewangan Islam perlu melibatkan penciptaan nilai bagi masyarakat untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.

"Jika (penggabungan) ini berjaya, ini adalah satu segmen baharu perniagaan yang ingin kita cuba," kata beliau pada Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia 2014 anjuran oleh Majlis Pelajar Malaysia United Kingdom and Eire, di sini pada Sabtu.

CIMB Group, RHB Capital Bhd dan Malaysia Building Society Bhd kini berunding bagi cadangan penggabungan dan pembentukan bank Islam mega selepas mendapat kebenaran Bank Negara Malaysia pada 10 Julai.

Ketiga-tiga pihak telah menandatangani perjanjian eksklusif 90 hari untuk berunding dan memuktamadkan harga, struktur dan syarat serta terma-terma lain yang berkaitan.

Sementara itu, Nazir berkata Malaysia memerlukan empat atau lima entiti perbankan kukuh.