BUSINESS
Capital A sasar selesaikan pelan penyusunan semula menjelang Jun - Tony Fernandes

Tony berkata kumpulan itu yakin dengan prospeknya walaupun terdapat perenggan Ketidakpastian Ketara Berkaitan Peristiwa atau Keadaan (MUGC) yang dimasukkan ke dalam penyata kewangan disatukan teraudit terbaharunya. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Capital A Bhd berada di landasan untuk menyelesaikan cadangan penyusunan semulanya menjelang Jun 2025 berikutan kemajuan yang dicapai dalam kawal selia, kewangan dan operasi, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Tony Fernandes.
Ringkasan AI
- Capital A Bhd berada di landasan untuk menyelesaikan penyusunan semula menjelang Jun 2025, dengan kemajuan dicapai dalam kawal selia, kewangan, dan operasi.
- Tawaran saham persendirian RM1 bilion bagi AirAsia X hampir selesai, dengan pelabur utama sedang memuktamadkan kelulusan.
- Prestasi suku pertama 2025 menunjukkan pemulihan kukuh, dipacu oleh permintaan tinggi, harga bahan api yang rendah, dan pengukuhan mata wang negara-negara utama ASEAN.
"Ia tidak menggambarkan sebarang kebimbangan mengenai kekuatan perniagaan kami. Malah, kemajuan sedang dicapai dalam semua aspek, dan kami yakin dapat menyelesaikan semua komponen pelan penstrukturan kami dengan jayanya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Kewangan Capital A Mun Hui Teh berkata berdasarkan perbincangan dengan juruaudit luar kumpulan itu, perenggan MUGC akan diselesaikan selepas memenuhi syarat-syarat utama iaitu kelulusan kawal selia dan penyelesaian tawaran saham persendirian RM1 bilion bagi AirAsia X.
"Dari segi kewangan, kami melihat petunjuk pemulihan yang kukuh. Suku pertama 2025 amat memberangsangkan, dan dengan keyakinan pelabur yang semakin kukuh, kami menumpu untuk keluar daripada Nota Amalan 17 (PN17) dengan secara baik dan memastikan Capital A mencapai pertumbuhan jangka panjang," katanya.
Antara kemajuan yang dicapai oleh Capital A adalah tawaran saham persendiriannya bernilai RM1 bilion bagi AirAsia X yang hampir selesai dengan pelabur utamanya, sebuah dana kekayaan negara sedang memuktamadkan kelulusan dalamannya.
Kumpulan itu berkata surat daripada pelabur lain yang mengesahkan minat untuk menyertai tawaran saham persendirian itu juga telah diterima.
Menurutnya, audit kewangan Capital A bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 telah selesai, manakala suku pertama tahun kewangan 2025 menunjukkan prestasi memberangsangkan didorong oleh permintaan kukuh, harga bahan api yang lemah dan pengukuhan mata wang negara-negara utama ASEAN.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami