CARACAS: Pemimpin pembangkang Venezuela, María Corina Machado kembali ke tanah air selepas lebih 10 bulan berada dalam buangan, sekali gus menghidupkan semula harapan penyokongnya terhadap perubahan politik di negara itu.
Menerusi hantaran di platform X pada Ahad, Machado mengesahkan kepulangannya dengan kenyataan ringkas: "Saya di sini. Bersama anda."
Kepulangan itu berlaku selepas beberapa percubaan terdahulu untuk memasuki semula Venezuela dilaporkan gagal.
Pada Januari lalu, kira-kira sebulan selepas Machado meninggalkan Venezuela secara rahsia menaiki bot laju menuju ke Norway bagi menerima Hadiah Keamanan Nobel, Presiden Nicolás Maduro ditahan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS).
Pentadbiran Presiden Donald Trump kemudiannya menyokong Timbalan Presiden Venezuela, Delcy Rodríguez sebagai pemimpin baharu negara itu dan beliau mengangkat sumpah sebagai presiden sementara sebelum memeterai perjanjian minyak yang memberikan syarat menguntungkan kepada AS.
Machado dilihat menghadiri upacara misa di sebuah gereja di negeri Lara pada Ahad.
Gambar yang tular menunjukkan beliau dikelilingi penyokong yang memeluk serta menyalaminya.
Sekutu rapatnya yang juga bekas calon presiden, Edmundo González turut mengesahkan kepulangannya.
"Saya amat teruja untuk mengumumkan bahawa pemimpin kami, María Corina, kini berada di bumi Venezuela," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut González, kepulangan Machado merupakan detik penting buat rakyat negara itu.
"Hari ini adalah hari yang amat penting buat rakyat Venezuela. Suara kedaulatan kita kembali bersama beliau untuk memimpin dan membimbing proses ini," katanya.
Beliau menambah bahawa dirinya akan menyertai Machado di Venezuela dalam masa terdekat bagi meneruskan usaha membawa negara itu ke arah kebebasan.
Pada September lalu, seorang penasihat Machado mendedahkan bahawa beliau telah tujuh kali cuba pulang ke Venezuela dalam tempoh beberapa minggu, namun setiap percubaan berakhir dengan kegagalan.
Terdapat dakwaan bahawa AS terlibat dalam menangguhkan kepulangan itu, namun tuduhan tersebut dinafikan Washington.
Setakat ini, masih belum jelas apakah langkah politik yang akan diambil Machado selepas kembali ke negara asalnya.
Bagaimanapun, beliau sebelum ini menyatakan kesediaan untuk bertanding semula sebagai presiden sekiranya pilihan raya diadakan.
Machado yang dikenali sebagai penyokong tegar demokrasi memenangi pemilihan awal presiden anjuran bebas pada 2023 dengan meraih lebih 90 peratus undi.
Namun, kerajaan Maduro menghalangnya daripada bertanding dalam pilihan raya rasmi dengan alasan penipuan dan pelanggaran cukai.
Machado menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai bermotifkan politik.
Pada pilihan raya 2024, González bertanding menggantikan Machado menentang Maduro.
Pihak berkuasa pilihan raya yang berpihak kepada kerajaan mengisytiharkan Maduro sebagai pemenang tanpa mendedahkan keputusan undian terperinci, manakala pembangkang menegaskan González sebenarnya memenangi pilihan raya tersebut dan mengemukakan salinan rekod undian sebagai bukti.
Maduro kemudiannya disingkirkan dari Venezuela oleh pihak berkuasa AS pada Januari lalu dan kini dipenjarakan di New York bagi menghadapi pertuduhan berkaitan dadah, senjata serta penyeksaan.
Beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu.
Jurucakap Machado menyifatkan kepulangannya sebagai satu langkah besar ke arah peralihan demokrasi serta membolehkan pilihan raya presiden yang bebas, adil dan boleh disahkan dilaksanakan dalam masa terdekat.
"Kami berterima kasih kepada Presiden Donald Trump, Setiausaha Negara Marco Rubio, kerajaan AS, Kongres serta negara-negara sekutu atas kepimpinan dan sokongan berterusan mereka," kata jurucakapnya, David Smolansky.
Dalam pada itu, Trump ketika ditanya wartawan mengenai kepulangan Machado berkata, beliau tidak mengetahui mengenainya, namun berharap pemimpin pembangkang itu berada dalam keadaan selamat.
"Saya fikir beliau seorang wanita yang sangat baik. Beliau memberikan Hadiah Nobelnya kepada saya, jadi bagaimana saya boleh berkata sebaliknya? Saya harap beliau selamat," kata Trump.
Pada Januari lalu, Machado mengunjungi White House dan menyerahkan anugerah Nobel yang diterimanya kepada Trump.
Namun, jawatankuasa Nobel sebelum ini menegaskan bahawa anugerah berkenaan tidak boleh ditarik balik, dikongsi atau dipindahkan kepada pihak lain.
Sementara itu, Setiausaha Negara AS, Marco Rubio memuji peranan negaranya dalam memastikan kepulangan Machado melalui rundingan perdamaian politik.
Menurutnya, rundingan yang disokong AS itu telah menyaksikan ratusan tahanan politik dibebaskan selain membolehkan ramai tokoh pembangkang pulang daripada buangan.
Rubio berkata, semua pihak berkepentingan politik perlu menyokong rundingan tersebut kerana ia merupakan peluang terbaik yang dimiliki Venezuela dalam tempoh tiga dekad untuk mencapai pilihan raya yang bebas dan adil, sekali gus membina demokrasi yang berkekalan. - Agensi