KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Energy Bhd, Datuk Mohd Anuar Taib memberi amaran bahawa kumpulan itu mungkin perlu membuat keputusan yang sukar jika ia tidak dapat mencapai kompromi yang boleh dilaksanakan dengan pelanggannya selepas ia mengadakan rundingan dengan mereka mengenai `kontrak-kontrak warisan' untuk penyelesaian secara baik untuk memulihkan atau mengehadkan kerugian.

"Kami telah mengadakan perbincangan panjang lebar dengan pelanggan tentang cara untuk mengurangkan kerugian kami, sambil memastikan penyampaian projek.

''Apabila kompromi yang boleh dilaksanakan tidak dapat dicapai, kami mungkin perlu membuat keputusan yang sukar," katanya dalam satu kenyataan pada 18 Mac 2022.

Beliau merujuk penamatan kontrak pemasangan monopilenya di ladang angin Yunlin di luar pesisir Taiwan pada suku keempat bagi tahun kewangan 2022 (4QFY22) berakhir 31 Jan 2022, selepas "rundingan mendalam" dengan pelanggannya.

Kontrak pemasangan monopile di luar pesisir Taiwan kendalian Sapura Energy ditamat baru-baru ini.

Anuar mengulas keputusan kewangan terkini Sapura Energy yang mencatatkan kerugian bersih berjumlah RM8.9 bilion — tertinggi pernah berlaku — untuk FY22 daripada kerugian bersih RM160.87 juta pada tahun kewangan sebelumnya apabila ia merealisasikan rosot nilai ke atas muhibah dan hartanah, loji dan peralatan bernilai RM5.39 bilion secara kolektif.

Hasil tahunan turun 22.84% kepada RM4.13 bilion daripada RM5.35 bilion pada FY21 disebabkan oleh sumbangan yang lebih rendah daripada segmen kejuruteraan dan pembinaan serta operasi dan penyelenggaraan.

Anuar berkata, masalah kecairan yang semakin meningkat dan kerugian projek akibat kontrak warisan telah mengheret Sapura Energy yang bermasalah kewangan, menghadapi satu daripada tahun paling mencabar dalam sejarah kumpulan itu.

Beliau berkata, kekangan kewangan semasa adalah kemuncak kepada banyak faktor, termasuk kontrak yang diterima atas terma yang membebankan dan isu operasi yang diburukkan lagi oleh pandemik COVID-19.

“Ini telah mengakibatkan kerugian besar dalam banyak projek, menjejaskan kedudukan kewangan kami.

"Cabaran mudah tunai kumpulan juga disebabkan oleh paras hutang yang tidak mampan dan hutang tertunggak yang tinggi kepada vendor kami, dan cabaran ini menjadi lebih meruncing dengan kemudahan modal kerja kami digantung sejak Oktober 2021," katanya.

Sapura Energy berkata dalam usaha untuk menangani hutangnya yang tidak mampan dan menyelesaikan tuntutan tertunggak kepada vendor, Sapura Energy telah meminta dan menerima dua perintah oleh Mahkamah Tinggi Malaya untuk memulakan penstrukturan semula hutang yang dibenarkan mahkamah dengan pemiutang.

Menurut kumpulan itu, ia sudah pun berbincang dengan pemberi pinjaman untuk menyusun semula hutang jangka panjangnya dan akan memulakan taklimat skim pengaturan dengan vendornya tidak lama lagi.

"Kami mengakui bahawa situasi sukar semasa kami telah memberi kesan kepada vendor kami.

"Skim perkiraan yang dicadangkan, yang memerlukan sokongan vendor, apabila diluluskan, akan membolehkan kumpulan itu melaksanakan rangka kerja yang dibenarkan mahkamah untuk pembayaran yang tegas dan komited kepada vendor kami," kata Anuar.

"Rangka kerja itu juga memastikan kami dapat meneruskan operasi kami dan membayar vendor dengan cara yang teratur yang mampan untuk perniagaan kami.

"Kumpulan itu akan berusaha mencari penyelesaian yang adil dan saksama kepada semua pihak berkepentingan," tambahnya.

Mengenai pelaksanaan pelan pelupusan strategiknya, Anuar berkata perniagaan dan aset yang bukan teras kepada hala tuju perniagaan masa depannya akan dilupuskan untuk mengurangkan hutangnya.

"Kami akan mengambil pendekatan selektif dalam bidaan kami untuk memberi tumpuan kepada wilayah pilihan, iaitu Asia-Pasifik dan Atlantik, di mana kami boleh berdaya saing.

"Kami akan mengalihkan baki portfolio projek kami dalam jangka pendek hingga sederhana ke arah pengangkutan dan pemasangan; dan menambat aktiviti pembinaan kami di limbungan pembuatan Lumut," katanya.

Saham Sapura Energy ditutup setengah sen atau 14.29% lebih tinggi pada empat sen pada 18 Mac 2022, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM559.27 juta. – DagangNews.com