Skip to main content

Bisnes

CIMB Islamic perluas akses pengurusan kekayaan patuh Syariah

Ahmad Shahriman (kiri) dan Haniz pada majlis pelancaran rasmi CIMB Islamic Wealth Management di Kuala Lumpur baru-baru ini. - Foto CIMB
Ahmad Shahriman (kiri) dan Haniz pada majlis pelancaran rasmi CIMB Islamic Wealth Management di Kuala Lumpur baru-baru ini. - Foto CIMB
Advertisement

KUALA LUMPUR: CIMB Islamic Bank Berhad (CIMB Islamic) memperluas akses kepada perkhidmatan pengurusan kekayaan patuh Syariah menerusi penyelesaian digital bersepadu, sekali gus membolehkan lebih ramai pelanggan merancang dan mengurus kewangan tanpa mengira tahap kekayaan masing-masing.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Haniz Nazlan berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan khidmat nasihat kewangan yang sebelum ini sukar diakses oleh sebahagian pelanggan dapat ditawarkan kepada kumpulan pengguna yang lebih luas.

“Ramai yang mengaitkan pengurusan kekayaan dengan golongan kaya, tetapi bagi kami, pendekatannya berbeza.

Advertisement

“Sebelum ini, antara cabaran terbesar adalah memastikan khidmat nasihat kewangan dapat diakses oleh kumpulan pelanggan yang lebih luas.

“Kami mahu memperluas akses tersebut tanpa mengira tahap kekayaan pelanggan, dan satu-satunya cara untuk mencapainya secara berskala besar adalah menerusi platform digital,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Pelancaran CIMB Islamic Wealth Management di ibu negara pada Selasa.

Advertisement

Sehubungan itu, CIMB Islamic melancarkan rangkaian penyelesaian Pengurusan Kekayaan Islam yang merangkumi platform Zakat365 Lite, Faraid360 serta penawaran MyWealth yang dipertingkatkan dengan pilihan pelaburan patuh Syariah.

Penawaran berkenaan menghimpunkan penyelesaian pelaburan, perlindungan, penyucian harta, perancangan pusaka serta khidmat nasihat dalam satu ekosistem bagi memudahkan pelanggan membina, melindungi dan mewariskan kekayaan kepada generasi seterusnya.

Haniz berkata, pendekatan MyWealth turut memberi penekanan kepada pemahaman profil risiko pelanggan sebelum cadangan peruntukan aset dan pelaburan dibuat.

“Banyak aplikasi di pasaran memberi tumpuan kepada transaksi, iaitu keupayaan pengguna untuk membeli atau menjual pelaburan.

“Pendekatan kami berbeza. Ia bermula dengan memahami profil risiko pelanggan sebelum kami mencadangkan peruntukan aset yang bersesuaian.

“Jadi, kami tidak bermula dengan produk, sebaliknya bermula dengan khidmat nasihat. Itulah perbezaan dalam usaha kami mendemokrasikan pengurusan kekayaan,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Islam Kumpulan CIMB, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, penggunaan teknologi digital menjadi antara langkah penting dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap pengurusan kekayaan Islam.

Menurutnya, proses perancangan kewangan perlu bermula lebih awal, justeru pembangunan platform digital membolehkan pelanggan memahami pilihan pelaburan, menilai tahap risiko dan merancang pengurusan harta secara lebih tersusun.

Beliau menjelaskan, MyWealth membolehkan pelanggan mendapatkan cadangan pelaburan berdasarkan profil risiko masing-masing, manakala Zakat365 Lite melalui aplikasi CIMB OCTO bermula Disember dan Faraid360 Simulator turut disediakan sebagai alat perancangan kewangan Islam yang boleh diakses orang ramai.

“Perjalanan untuk melibatkan masyarakat dalam pengurusan kekayaan Islam perlu bermula lebih awal. Sebab itulah kami melabur dalam pembangunan penyelesaian digital ini.

“Penyelesaian ini penting dalam usaha memperluas akses kepada pengurusan kekayaan, dengan memberi keupayaan kepada masyarakat untuk memahami, mengurus dan membuat perancangan kewangan mereka sendiri,” katanya.

Inisiatif berkenaan turut menyokong pendekatan CIMB Islamic untuk memperluas perkhidmatan pengurusan kekayaan melalui gabungan khidmat nasihat secara peribadi dan penyelesaian digital, bagi memenuhi keperluan pelanggan daripada pelbagai latar belakang kewangan.

Menurutnya, usaha berkenaan turut diperkukuh melalui pembangunan platform digital, latihan serta pensijilan perancang kewangan Islam, dengan sasaran mempunyai 100 perancang kewangan Islam bertauliah menjelang suku pertama 2027.

Must Watch Video

Advertisement