Skip to main content

Bisnes

CIMB kekal unjuran KDNK 2026 pada 4.5 peratus walaupun Mahkamah Agung AS batal tarif Trump

71763546867_TBUSTARIFFS.jpg
Pada 20 Februari, Mahkamah Agung AS membatalkan tarif berasaskan IEEPA yang dikenakan oleh Trump termasuk tarif timbal balasnya. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: CIMB Treasury and Markets Research mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 4.5 peratus bagi 2026 walaupun Mahkamah Agung Amerika Syarikat (AS) membatalkan tarif di bawah Akta Kuasa Ekonomi Darurat Antarabangsa (IEEPA).

Pada 20 Februari, Mahkamah Agung AS membatalkan tarif berasaskan IEEPA yang dikenakan oleh Trump termasuk tarif timbal balasnya.

Advertisement

Selepas Mahkamah Agung membatalkan tarif IEEPA, Presiden AS mengembalikan tarif 15 peratus bermula 24 Februari selama 150 hari selain mengurangkan cukai terhadap kebanyakan pengeksport Asia.

Dalam nota penyelidikan hari ini, CIMB Treasury and Markets Research berkata keputusan untuk mengekalkan unjuran tersebut adalah berdasarkan hakikat bahawa rejim tarif dan perjanjian perdagangan masih dalam keadaan tidak menentu.

Dalam senario yang lebih membina apabila tarif 15 peratus dikekalkan dengan impak bersih minimum daripada kesan penggantian, Malaysia (+0.10 mata peratus) berpotensi menyaksikan peningkatan pertumbuhan.

"Dengan sokongan eksport yang kukuh, penurunan tarif berkesan AS daripada 15.3 peratus kepada 13.2 peratus tidak mengubah pertumbuhan atau kadar dasar," katanya.

CIMB Treasury and Markets Research menambah bayaran balik daripada tarif IEEPA sebanyak AS$150 bilion hingga AS$175 bilion mungkin dilaksanakan secara sebahagian dan berperingkat disebabkan prosedur perundangan.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video