APLIKASI suntingan video milik Meta, Edits menerima beberapa ciri baharu yang memudahkan pencipta kandungan mengawal kelajuan klip video, kualiti audio dan animasi teks secara terus, lapor Amanz.
Menurut pengumuman rasmi menerusi saluran Instagram Creators pada 12 Nov lalu, kemas kini terbaharu itu memperkenalkan fungsi keluk kelajuan (speed curves) yang membolehkan pengguna menetapkan kadar kelajuan video sama ada lebih laju atau lebih perlahan pada mana-mana bahagian klip.
Selain pilihan templat keluk kelajuan pratetap yang disediakan, pengguna turut diberi kebebasan untuk melaras dan mencipta keluk kelajuan tersuai pada titik tertentu mengikut kreativiti masing-masing.
Selain itu, ciri pengimbangan audio automatik turut diperkenalkan bagi menstabilkan dan menyeragamkan tahap bunyi merentas pelbagai trek audio termasuk suara latar serta muzik tanpa perlu dilaraskan secara manual.
Pengguna juga kini diberi kawalan lebih terperinci terhadap animasi teks, termasuk menetapkan tempoh paparan teks pada skrin serta kelajuan teks muncul, menghilang dan berulang secara automatik.
Pada masa sama, tab Inspiration dalam aplikasi berkenaan ditambah baik menerusi fungsi saringan topik yang berfungsi seumpama ciri "Your Algorithm" milik Meta.
Melalui fungsi tersebut, pencipta kandungan boleh memilih topik yang ingin dipaparkan dengan lebih kerap atau dikurangkan bagi mendapatkan idea klip yang lebih relevan dengan minat mereka.
Pada 5 Nov lalu, Meta memperluas akses aplikasi Edits yang kini mempunyai lebih 50 juta pengguna ke platform komputer menerusi pelancaran versi macOS bagi membolehkan proses suntingan yang lebih kompleks dilakukan dengan lebih selesa pada paparan yang lebih besar.