KUALA LUMPUR: CIMB Islamic Bank Berhad melancarkan CIMB Lite-i Credit Card, kad kredit tanpa yuran tahunan yang menawarkan kadar keuntungan tetap dan tidak dikompaun sebanyak 14 peratus setahun.
CIMB dalam kenyataan berkata, kadar berkenaan ditawarkan kepada semua kategori pelanggan dan lebih rendah berbanding kadar lazim dalam industri.
Kad itu direka untuk rakyat Malaysia yang memerlukan kemudahan kredit praktikal bagi perbelanjaan harian serta keperluan aliran tunai jangka pendek, tanpa mengutamakan ganjaran atau keistimewaan gaya hidup.
Pemegang kad yang membuat pembelian runcit minimum RM500 dalam satu transaksi layak mendapatkan Pelan Pembayaran Fleksi-i (FPP-i) pada kadar sifar peratus selama enam bulan.
Promosi itu sah sehingga 31 Oktober 2027, membolehkan pembelian yang layak ditukar kepada bayaran ansuran bulanan tanpa kos pembiayaan tambahan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, kemudahan itu diperkenalkan bagi menjadikan akses kepada kredit yang bertanggungjawab lebih mampu milik.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Perbankan Pengguna Kumpulan CIMB, Haniz Nazlan berkata, kad berkenaan memenuhi keperluan pengguna yang mahukan kemudahan kredit mudah dan berkos rendah tanpa membayar untuk ganjaran atau manfaat gaya hidup yang tidak diperlukan.
CIMB Lite-i turut menggunakan struktur keuntungan tidak dikompaun berasaskan Tawarruq, selain menawarkan kadar keuntungan pengeluaran tunai yang lebih rendah berbanding alternatif konvensional.
Kad itu juga boleh ditambah ke dompet digital seperti Apple Pay, Samsung Wallet dan Google Wallet bagi memudahkan pembayaran tanpa sentuh.
Untuk maklumat lanjut mengenai CIMB Lite-i Credit Card dan promosi pelancarannya, pelanggan boleh mengunjungi laman web CIMB.
Bisnes
CIMB lancar kad kredit Lite-i, tawar kadar keuntungan 14 peratus
Novan Amirudin (kiri) dan Haniz Nazlan pada pelancaran CIMB Lite-i Credit Card. - Gambar CIMB