Ringkasan AI
- Anthony Loke menegaskan sebarang cadangan politik perlu dibincang dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan, bukan diumumkan secara terbuka.
- DAP terbuka kepada cadangan penggunaan logo parti masing-masing pada PRU-16, namun keputusan memerlukan perbincangan lanjut dalam PH.
- Status peletakan jawatan Loke sebagai Menteri Pengangkutan tertakluk kepada keputusan Perdana Menteri, walaupun beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan.
SHAH ALAM: Sebarang cadangan atau strategi politik perlu dibawa ke Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) untuk dibincangkan dan tidak sepatutnya diuar-uarkan secara terbuka, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
“Masing-masing ada pandangan dan cadangan tetapi saya yakin kalau kita memberikan cadangan secara terbuka, berbincang melalui media ia tidak akan dapat mencapai hasrat atau objektif yang diinginkan," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Konvensyen DAP Selangor 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas cadangan Setiausaha Agung Amanah Muhammad Faiz Fadzil bahawa PH perlu menggunakan pendekatan “khemah besar” dan merangkul lebih banyak parti berteraskan Melayu bagi meningkatkan sokongan pengundi Melayu dalam mendepani Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.
Sementara itu, Loke berkata DAP terbuka terhadap cadangan untuk menggunakan logo komponen parti masing-masing pada PRU-16, namun ia memerlukan perbincangan lanjut dalam PH sebelum dimuktamadkan.
"Yang paling penting ialah kita (PH) kena mengumpulkan kekuatan kita dan mencari pendekatan terbaik untuk menghadapi pilihan raya. Namun begitu cadangan sebegitu perlu dibincangkan terlebih dahulu dalam Majlis Presiden.
"DAP akan memberikan pandangan dan sudah tentu kita ada cadangan bagaimana nak ambil langkah dalam pilihan raya akan datang," katanya.
Dalam perkembangan lain, Loke berkata status peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan pada 10 Nov lepas tertakluk kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Bagi saya, saya sudah pun meletakkan jawatan," katanya.
Pada 13 Nov lepas, Anwar berkata tiada keperluan untuk kerajaan tergesa-tergesa membuat keputusan berhubung peletakan jawatan Loke meskipun surat rasmi berhubung perkara itu telah diterima dan perkara tersebut memerlukan penelitian terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.
Pada 12 Nov, Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban menegaskan pendirian beliau untuk kekal dengan keputusan meletak jawatan serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjaranya secara tahanan di rumah.
-- BERNAMA