Skip to main content

Malaysia

JPS ramal banjir di empat jajahan Kelantan bermula 24 Nov

JPS meramalkan kemungkinan kejadian banjir di empat jajahan di Kelantan bermula 24 hingga 27 Nov ini susulan analisis data hidrologi model ramalan banjir. -Foto fail/Bernama
JPS meramalkan kemungkinan kejadian banjir di empat jajahan di Kelantan bermula 24 hingga 27 Nov ini susulan analisis data hidrologi model ramalan banjir. -Foto fail/Bernama

Ringkasan AI

  • Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan banjir di Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat antara 24 hingga 27 November ini.
  • Kawasan berisiko melibatkan lembangan sungai utama dan hotspot banjir, dengan pemantauan berterusan serta amaran akan dikeluarkan jika hujan signifikan berterusan.
  • Penduduk dan agensi pengurusan bencana diminta berwaspada serta mengikuti arahan pihak berkuasa melalui laman web dan Facebook PublicInfoBanjir.
Advertisement

KOTA BHARU: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meramalkan kemungkinan kejadian banjir di empat jajahan di Kelantan bermula 24 hingga 27 Nov ini susulan analisis data hidrologi model ramalan banjir.

JPS menerusi Ramalan Awal Banjir Negeri Kelantan dalam kenyataan hari ini memaklumkan kawasan terlibat ialah Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat, khususnya kawasan hotspot banjir, kawasan rendah serta berisiko banjir.

Di Jeli, kawasan berisiko melibatkan lembangan Sungai Golok termasuk Sungai Buloh, Sungai Lanas, Sungai Legeh dan Sungai Satan.

Advertisement

Bagi Pasir Mas, kawasan terlibat merangkumi Sungai Golok, Sungai Bunut Susu, Sungai Meranti, Sungai Tandak, Sungai Kedotok, Sungai Lanchang, Tasik Garu, Tasik Danau To’ Uban, Sungai Rengas, Sungai Lemal dan Sungai Lemal Mati.

Sementara itu, di Tanah Merah, kawasan yang dikenal pasti ialah Sungai Golok, Sungai Jegor, Sungai Manal, Sungai Jedok, Sungai Air Bujing dan Sungai Lanas.

Advertisement

Di Tumpat pula, kawasan berisiko melibatkan Sungai Golok, Sungai Pengkalan Nangka, Sungai Mentua, Sungai Gali, Sungai Kelaboran dan Sungai Tapang.

Menurut JPS, pemantauan berterusan akan dilaksanakan dan hebahan amaran banjir akan dikeluarkan sekiranya hujan signifikan terus berlaku di lembangan sungai berkenaan.

JPS turut memaklumkan banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada tarikh yang dijangkakan.

Sehubungan itu, semua agensi pengurusan bencana serta penduduk khususnya di kawasan yang dijangka terjejas diminta sentiasa berwaspada dan peka terhadap arahan pihak berkuasa.

Maklumat dan amaran semasa boleh diperoleh menerusi laman web publicinfobanjir.water.gov.my serta Facebook PublicInfoBanjir.

--BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement