JOHOR BAHRU: CIMB Group Holdings Berhad mengumumkan komitmen pembiayaan sebanyak RM10 bilion yang dijangka membuka peluang rentas sempadan di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, JS-SEZ merupakan langkah transformasi dalam kerjasama ekonomi serantau, memperkukuh hubungan dan membuka ruang baharu untuk pertumbuhan mampan antara Malaysia dan Singapura, selain meningkatkan ketahanan rantau ini terhadap ketidaktentuan global.

Tambah beliau, inisiatif ini menggalakkan integrasi serantau yang lebih mendalam melalui penciptaan ekosistem yang lancar untuk perniagaan dan bakat, serta membolehkan pergerakan barangan yang lebih efisien, pengoptimuman kos dan peningkatan kecekapan pengeluaran untuk perniagaan.

Dalam pada itu, CIMB turut melancarkan ASEAN Financial Passport, satu pendekatan sehenti bagi perniagaan menikmati pengalaman perbankan rentas sempadan yang lancar, dengan sokongan menyeluruh termasuk kepakaran dalam pematuhan peraturan tempatan di setiap peringkat pertumbuhan perniagaan.

"Apa yang ditawarkan oleh JS-SEZ adalah sesuatu yang sangat unik dan menarik, sesuatu yang tidak dapat ditemui di mana-mana tempat lain di Asia Tenggara. Baik Johor atau Singapura, keduanya membawa pelbagai ciri unik dalam JS-SEZ yang pada pandangan saya mampu sekurang-kurangnya mengurangkan ketidaktentuan yang sedang kita hadapi hari ini.

"CIMB adalah sebuah bank ASEAN dan kami mempunyai pengalaman beroperasi di pelbagai bidang kuasa. Kami sangat teruja untuk menyokong perniagaan dalam mengharungi ketidaktentuan ini dan sempena pelancaran JS-SEZ, kami ingin mengumumkan dua komitmen pada hari ini.

"Komitmen pertama ialah kami akan memperuntukkan pembiayaan sebanyak RM10 bilion untuk perniagaan yang ingin berkembang dan beroperasi dalam JS-SEZ dalam tempoh tiga tahun akan datang. Komitmen kedua pula sejajar dengan peranan kami sebagai bank ASEAN, kami akan melancarkan inisiatif yang kami namakan sebagai Pasport ASEAN yang akan membolehkan syarikat-syarikat di Asia Tenggara menjalankan operasi rentas sempadan dengan lebih mudah dan seragam," katanya.

Sementara itu, CIMB telah menubuhkan satu pasukan khas yang terdiri daripada 30 pegawai bank berpengalaman di Singapura dan Malaysia bagi mempercepatkan kemasukan pasaran untuk pelanggan merentasi Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand, Tanah Besar China dan Hong Kong bagi merebut peluang yang wujud hasil daripada JS-SEZ.

Ketika ini, CIMB mengendalikan 28 cawangan, di mana enam daripadanya mempunyai kepakaran dan keupayaan khusus untuk menyokong pertumbuhan dalam JS-SEZ.