Kira-kira 830 migran, pelarian tiba di Pulau Crete, ramai larikan diri dari Libya

Mereka belayar dari Tobruk di Libya dan membayar sejumlah besar wang bagi menempuh perjalanan berbahaya sejauh kira-kira 300 kilometer. - Reuters
ATHENS: Seramai 830 pelarian dan migran diselamatkan dalam beberapa operasi menyelamat di selatan Pulau Crete, Greece sejak beberapa hari lalu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik pihak berkuasa.
Hampir 400 orang diselamatkan pada Jumaat sahaja, menurut laporan media Greece, dalam operasi yang melibatkan bot nelayan serta bot peronda Pengawal Pantai Greece dan Agensi Pengawal Sempadan dan Pantai Eropah (Frontex).
Menurut pengawal pantai, puluhan individu berada di dalam bot-bot berkenaan dan dalam beberapa kes melebihi 100 orang, termasuk kanak-kanak.
Mereka belayar dari Tobruk di Libya dan membayar sejumlah besar wang bagi menempuh perjalanan berbahaya sejauh kira-kira 300 kilometer, menurut pihak berkuasa. Beberapa individu turut ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan pemerdagangan manusia.
Menurut pengawal pantai, Pulau Crete telah merekodkan lebih 18,000 ketibaan pelarian setakat tahun ini, meningkat ketara berbanding kira-kira 5,000 orang pada tahun lalu.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


