KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur pada urus niaga Isnin di tengah-tengah sentimen lemah dalam pasaran yang lebih luas.

Pada 9.20 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 2.51 mata kepada 1,448.60 daripada 1,446.09 pada penutup Jumaat.

Indeks utama dibuka 0.6 mata lebih tinggi pada 1,446.69.

Bagaimanapun, di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 251 berbalas 235, manakala 280 kaunter tidak berubah, 1,590 tidak diniagakan dan 26 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 474.57 juta bernilai RM180.15 juta.

Menurut Malacca Securities dalam nota penyelidikannya hari ini, ia menjangkakan permintaan luar (eksport) yang perlahan mungkin terus mempengaruhi pertumbuhan.

"Sementara itu, saham berharga murah diunjur tidak banyak berubah dengan fokus utama beralih ke arah pengumuman pengeluaran pendapatan korporat.

"Namun, pada pendapat kami, sebarang penyusutan selanjutnya mungkin mampu menarik kegiatan memburu saham murah," jelasnya.

Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, CIMB meningkat lima sen kepada RM5.55, TNB menambah dua sen menjadi RM9.95, Maybank dan Public Bank masing-masing tidak berubah pada RM9 dan RM4.13, manakala Petronas Chemicals susut dua sen kepada RM6.80 dan IHH Healthcare turun lima sen kepada RM6.00.

Bagi saham aktif, Parkson mengembang 2.5 sen kepada 29.5 sen, SWS Capital lebih tinggi 1.5 sen menjadi 34.5 sen, Tanco tidak berubah pada 56 sen sementara KNM rendah satu sen kepada 9.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas mengukuh 17.14 mata kepada 10,678.70, Indeks FBMT 100 naik 16.83 mata menjadi 10,364.36 dan Indeks FBM Emas Syariah meningkat 9.07 mata kepada 10,882.58.

Indeks FBM 70 lebih tinggi 18.25 mata kepada 14,117.77 tetapi Indeks ACE FBM susut 1.34 mata kepada 5,262.80.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 25.94 mata kepada 16,288.04, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.38 mata kepada 167.65, Indeks Tenaga turun 1.04 mata menjadi 814.22, manakala Indeks Perladangan turun 6.62 mata kepada 9,989.18.

-- BERNAMA