KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada pagi urus niaga Jumaat, dipacu oleh aktiviti memburu saham murah sejajar dengan prestasi positif semalaman Wall Street.

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.16 mata kepada 1,384.17 daripada 1,383.01 pada penutup semalam.

Indeks utama dibuka pada paras 1,385.82, menokok 2.81 mata.

Pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan adalah positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi 160 berbalas 121, manakala 236 kaunter tidak berubah, 1,739 tidak diniagakan dan 27 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 220.18 juta unit bernilai RM83.38 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata beberapa kegiatan pembelian dijangka muncul berikutan perkembangan positif mengenai had hutang AS, justeru beliau menjangkakan indeks akan berlegar dalam julat 1,385-1,395 hari ini.

Malacca Securities Sdn Bhd pula menjangkakan sikap berhati-hati di pasaran dengan tumpuan beralih ke arah pengeluaran data pekerjaan AS yang mungkin menentukan arah kadar faedah lewat hari ini.

"Pelabur mungkin memberi tumpuan kepada saham berciri defensif menjelang akhir musim pelaporan kewangan. Dari segi komoditi, minyak mentah Brent diniagakan lebih tinggi melebihi US$74 setong, manakala harga minyak sawit mentah berlegar di bawah RM3,300," katanya.

Kebanyakan pasaran ekuiti termasuk Wall Street ditutup lebih kukuh selepas Dewan AS meluluskan rang undang-undang had hutang yang penting untuk mengelakkan kemungkiran.

Di dalam negara, saham berwajaran tinggi - Maxis, Tenaga Nasional dan Petronas Dagangan, kesemuanya tidak berubah dan masing-masing merekodkan harga RM4.16, RM9.46 dan RM21.10.

Hong Leong Bank turun 18 sen kepada RM19.10 manakala Petronas Chemicals menokok tujuh sen kepada RM6.56.

Bagi kaunter aktif, Borneo Oil turun setengah sen kepada 1.5 sen, Vsolar peroleh enam sen kepada 30 sen, EP Manufacturing menokok lapan sen kepada 94.5 sen dan SMTrack lebih tinggi setengah sen menjadi 3.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 11.78 mata kepada 10,215.01, Indeks FBMT 100 menambah 11.47 mata kepada 9,921.55 dan Indeks FBM Emas Syariah mengukuh 23.17 mata kepada 10,576.52.

Indeks FBM 70 menambah 28.78 mata kepada 13,590.59 manakala Indeks FBM ACE memperoleh 12.15 mata kepada 4,961.90.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan kekal rendah, merosot 18.40 mata kepada 15,174.89, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.33 mata kepada 159.11, Indeks Tenaga lebih tinggi 5.44 mata kepada 812.12 dan Indeks Perladangan meraih 4.08 mata kepada 6,610.87.

-- BERNAMA