KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia melanjutkan keuntungan yang dicatat semalam untuk dibuka tinggi sedikit hari ini, mengambil petunjuk daripada prestasi Wall Street yang lebih baik semalaman dengan Nasdaq turut menyaksikan kenaikan yang kukuh, kata peniaga.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menambah 1.29 mata kepada 1,395.96 daripada 1,394.67 pada penutupan Khamis.

Indeks utama dibuka 0.85 mata lebih tinggi pada 1,395.52.

Bagaimanapun, di pasaran yang lebih luas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung 130 berbalas 85, manakala 196 kaunter tidak berubah, 1,907 tidak diniagakan dan 19 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 225.27 juta unit bernilai RM45.38 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd menerusi nota penyelidikannya, FBM KLCI meningkat untuk sesi ketiga berturut-turut semalam, dirangsang oleh aktiviti memburu saham murah terutamanya kaunter berwajaran tinggi perbankan terpilih, telekomunikasi dan media.

"Pada pandangan kami, pasaran mungkin kekal optimis tetapi berhati-hati sambil memantau perkembangan daripada bank pusat global serta pilihan raya enam negeri di Malaysia, terutamanya selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dibubarkan semalam," katanya.

Mengenai komoditi, firma broker itu menyatakan harga minyak mentah Brent jatuh di bawah paras US$75 setong, manakala harga minyak sawit mentah berlegar melepasi paras RM3,550 satu tan.

"Dari segi sektor, sektor teknologi dijangka meneruskan aliran meningkat berikutan keuntungan Nasdaq semalaman manakala sektor pembinaan berkemungkinan bergerak cergas menjelang pilihan raya enam negeri serta keputusan menggalakkan daripada Gamuda.

"Bagaimanapun, sektor tenaga dijangka menyaksikan beberapa tekanan jualan di tengah-tengah penyusutan harga minyak mentah," tambahnya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Public Bank dan Tenaga Nasional masing-masing susut satu sen kepada RM3.91 dan RM9.19 manakala Maybank, CIMB dan IHH Healthcare tidak berubah pada RM8.75, RM5.24 dan RM5.92.

Bagi saham aktif, waran Wegmans Holdings menambah setengah sen kepada 2.5 sen, SMRT Holdings turun 3.5 sen menjadi 81 sen dan Alam Maritim kerugian setengah sen kepada 2.5 sen manakala Fintec Global dan Destini masing-masing tidak berubah pada satu sen dan 10 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 9.49 mata pada 10,260.59, Indeks FBMT 100 meningkat 10.98 mata menjadi 9,964.07 dan Indeks FBM Emas Syariah naik 20.11 mata untuk mencatatkan paras 10,535.79

Indeks FBM 70 lebih tinggi 22.37 mata kepada 13,472.59 sementara Indeks FBM ACE susut 13.18 mata kepada 5,097.30.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 7.67 mata kepada 15,517.85, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menyusut 0.12 mata menjadi 158.77 dan Indeks Tenaga susut 1.77 mata kepada 786.77 manakala Indeks Perladangan meningkat 19.47 mata kepada 6,712.33.

-- BERNAMA