KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan menghantar resolusi daripada pemegang taruh utama sukan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk merayu kerajaan agar Malaysia kekal menjadi penganjur Sukan SEA ke-34 pada 2027.

Presidennya, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata perkara itu dipersetujui secara sebulat suara oleh semua wakil persatuan sukan kebangsaan (NSA) yang hadir pada mesyuarat Majlis Eksekutif MOM ke-209, hari ini.

Beliau berkata resolusi berkenaan akan dihantar kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dalam masa terdekat.

Ditanya mengenai tujuan resolusi itu, Mohamad Norza berkata ia berikutan wujudnya kebimbangan terhadap nasib temasya tersebut selepas kerajaan menolak tawaran Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 menggantikan penganjur asal, Victoria, Australia, bulan lepas.

"Resolusi ini hanya membawa suara rayuan di akar umbi dengan meminta kerajaan meneliti dengan baik agar penganjuran Sukan SEA pada 2027 terus berada di landasan tepat.

Kami tidak mahu mempunyai sebarang gangguan pada rancangan itu kerana ia melibatkan imej dan maruah kami. Selepas mereka mendengar tentang Sukan Komanwel, ada soalan yang bertanya kepada kita, apabila berdepan dengan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), kita perlu mempunyai keyakinan bahawa kerajaan bersama dalam penganjuran," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya juga tidak mahu atlet negara yang sedang menanti untuk bertanding di Sukan SEA, risau sekiranya wujud gangguan dalam program latihan dan persiapan atlet.

Mesyuarat Ahli Majlis SEAGF ketika Sukan SEA Hanoi pada Mei 2022, sebulat suara bersetuju memberikan hak penganjuran Sukan SEA 2027 kepada Malaysia berikutan penarikan diri Brunei, manakala Thailand dan Singapura masing-masing diberi kebenaran menganjurkan temasya itu pada 2025 dan 2029.

Sukan SEA 2027 bakal menjadi kali ketujuh Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu, selepas pernah menjadi penganjur pada 1965, 1971, 1977, 1989, 2001 dan 2017.

Sementara itu, Norza mencadangkan agar Sukan SEA 2027 turut dianjurkan di negeri-negeri lain seperti Sarawak, sekali gus memecahkan tradisi hanya tertumpu di Lembah Klang.

Katanya beliau turut membincangkan perkara tersebut dengan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Abang Openg mamandangkan negeri itu mempunyai kemudahan.

Sarawak bakal menganjurkan temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 bermula 17 hingga 24 Ogos ini.

-- BERNAMA