KUALA LUMPUR: Krisis iklim adalah salah satu krisis utama yang menjejaskan pembangunan kanak-kanak hari ini.

Wakil Timbalan UNICEF, Sanja Saranovic berkata, ini kerana apabila bencana alam berlaku, kanak-kanak lebih terdedah dan berpotensi mengalami kesan yang berpanjangan.

"Perkembangan kanak-kanak tidak boleh ditangguhkan. Kanak-kanak memerlukan pemakanan yang betul, penjagaan kesihatan, rangsangan, permainan dan pendidikan untuk perkembangan otak dan badan yang lengkap.

"Gangguan boleh memberi kesan berpanjangan kepada kanak-kanak. Inilah sebabnya mengapa krisis iklim adalah krisis hak kanak-kanak. Kanak-kanak dan belia tidak terlepas daripada krisis iklim.

"Dalam Laporan Perubahan Iklim 2020 oleh UNDP dan UNICEF, kami mendapati bahawa 92 peratus golongan muda di Malaysia percaya bahawa perubahan iklim adalah krisis.

"Malah, belia Malaysia sudah memulakan usaha untuk diri sendiri dan rakan sebaya. Youth Environment Living Labs, projek bersama UNDP dan UNICEF adalah contoh golongan muda berkumpul untuk menambah baik dasar iklim untuk masa depan yang lebih cerah.

"Kerajaan menerajui rang undang-undang perubahan iklim dan Pelan Adaptasi Kebangsaan. Ia menekankan kesegeraan dan menonjolkan keutamaan negara dalam memajukan agenda iklim.

"Kerajaan Malaysia dan semua pihak berkepentingan di Malaysia mempunyai sokongan penuh UNICEF dalam usaha penyelesaian iklim berpusatkan kanak-kanak, dan berganding bahu dengan golongan muda yang berazam untuk membentuk masa depan mereka."

Beliau berkata demikian semasa membentangkan dapatan kajian isu utama berkaitan hak kanak-kanak di Malaysia, pada International Symposium on Empowerment of Children’s Commission: Strengthening Rights and Safeguarding Futures, pada Isnin.

UNICEF, tambahnya, sentiasa berusaha untuk meningkatkan penyertaan kanak-kanak dalam semua aspek dengan memulakan Inisiatif Bandar Mesra Kanak-kanak (CFCI).

Salah satu syarat pemberian status CFCI ialah penyertaan kanak-kanak yang bermakna dan inklusif, di mana suara kanak-kanak dan remaja boleh didengari dalam keputusan majlis bandar raya, termasuk dalam aspek membina bandar berdaya tahan.

Petaling Jaya menjadi bandar raya pertama di Malaysia yang dianugerahkan status CFCI pada tahun 2023.

Enam bandar lain yang dicalonkan untuk 2024 ialah Kuching, Miri, Padawan, Sibu, Bintulu dan Kota Samarahan, kesemuanya di Sarawak.

Selain, isu krisis iklim, turut disentuh UNICEF adalah isu kesihatan dan nutrisi, kesihatan mental, kesan migrasi, persekitaran selamat dan pendidikan.