KUALA LUMPUR: Kembalinya dana asing ke rantau ini dijangka memberikan rangsangan kepada Bursa Malaysia minggu depan memandangkan momentum belian ke atas ekuiti domestik akan berterusan dengan keyakinan baharu.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata pihaknya masih berharap momentum semasa akan meningkatkan jumlah dagangan dan menarik lebih ramai pelabur ke dalam pasaran, terutama pelabur runcit.

"Justeru, kami menjangkakan indeks utama berlegar dalam julat 1,520 hingga 1,540 minggu depan, dengan sokongan serta-merta pada 1,520, diikuti 1,500.

"Paras rintangan seterusnya yang utama pula pada 1,540 dan menembusi di atas paras ini boleh menandakan momentum meningkat seterusnya," katanya kepada Bernama.

Pasaran ditutup pada Isnin, 12 Februari susulan cuti ganti Tahun Baharu Cina yang disambut pada Sabtu dan Ahad (10 dan 11 Februari).

Bagi minggu singkat ini, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan negara mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 3.7 peratus pada 2023, dengan suku keempat merekodkan peningkatan 3.0 peratus.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan MADANI yakin mampu mencapai pertumbuhan KDNK yang lebih kukuh di antara 4.0 dengan 5.0 peratus pada 2024 disokong oleh asas yang kukuh dan pembaharuan yang digariskan dalam Ekonomi MADANI dan Belanjawan 2024.

Pada asas Jumaat ke Jumaat, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) melonjak 21.27 mata kepada 1,533.55 daripada 1,512.28 minggu lepas.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 160.24 mata kepada 11,405.26; Indeks FBMT 100 menambah 149.09 mata kepada 11,053.60; Indeks FBM 70 menokok 190.48 mata kepada 15,400.81; Indeks FBM Emas Syariah meningkat 172.31 mata kepada 11,458.49 dan Indeks FBM ACE naik 83.08 mata kepada 4,905.29.

Dari segi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 335.58 mata kepada 17,216.55; Indeks Tenaga naik 7.12 mata kepada 895.08; Indeks Perladangan menokok 62.07 mata kepada 7,254.23 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 3.42 mata kepada 176.11.

Jumlah dagangan mingguan susut kepada 12.23 bilion unit bernilai RM8.61 bilion daripada 14.46 bilion unit bernilai RM9.47 bilion pada minggu lepas.

Jumlah dagangan Pasaran Utama sebanyak 7.83 bilion saham bernilai RM7.73 bilion berbanding 8.36 bilion saham bernilai RM8.35 bilion seminggu lepas,

Jumlah dagangan waran turun kepada 2.49 bilion unit bernilai RM359.16 juta daripada 3.10 bilion unit bernilai RM479.43 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula sebanyak 1.89 bilion saham bernilai RM509.6 juta berbanding 2.92 bilion saham bernilai RM629.21 juta sebelumnya.

-- BERNAMA