LOS ANGELES: Kes campak di Amerika Syarikat (AS) melepasi 2,000 kes bagi tahun kedua berturut-turut, menurut data dikeluarkan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS pada Jumaat, lapor Xinhua.
Dalam kenyataan media, CDC memaklumkan sebanyak 2,030 kes campak disahkan telah dilaporkan di seluruh negara setakat tahun ini.
Agensi itu melaporkan, 30 wabak baharu pada 2026, dengan 93 peratus daripada keseluruhan kes disahkan dikaitkan dengan wabak.
Kira-kira 72 peratus kes melibatkan individu berusia bawah 20 tahun.
Kadar kemasukan ke hospital dicatatkan sekitar enam peratus pada 2026, menurun daripada 11 peratus pada 2025.
Tahun lalu, AS merekodkan sebanyak 2,288 kes campak disahkan, jumlah tahunan tertinggi sejak penyakit itu diisytiharkan berjaya dihapuskan di negara itu pada 2000 serta angka tertinggi dilaporkan dalam tempoh lebih tiga dekad.
-- BERNAMA-XINHUA