MELAKA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan terus mempergiat usaha advokasi dan sokongan kepada wanita, termasuk mangsa keganasan rumah tangga serta jenayah seksual menerusi pelbagai program kesedaran serta kaunseling.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, pencegahan tetap menjadi keutamaan kementerian, namun bantuan dan sokongan segera kepada mangsa turut diberi perhatian.
"Antara bantuan disediakan termasuk khidmat kaunseling, panduan tindakan lanjut serta sokongan kepada wanita yang berdepan situasi berkenaan.
“Apabila sesuatu kes berlaku, kita perlu berada di hadapan untuk memberikan pertolongan sewajarnya, termasuk kaunseling dan bantuan kepada mangsa,” katanya kepada pemberita selepas menyertai Ziarah Kasih sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana di Kampung Tujuh, Tengkera, di sini, pada Rabu.
Turut hadir Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Laksamana, Low Chee Leong.
Mengulas lanjut, Lim berkata, Jabatan Pembangunan Wanita turut melaksanakan pelbagai program advokasi secara berterusan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai isu melibatkan wanita dan institusi keluarga.
Beliau berkata, antara inisiatif terbaharu yang diperkenalkan ialah program PRISMAnita yang dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu ibu tunggal, khususnya selepas perceraian.
Program itu memberikan pendedahan berkaitan hak wanita selain membantu mereka mengurus kewangan dan membina semula kehidupan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan menerusi program seperti WRUR membantu memperluas jaringan bantuan kepada golongan memerlukan, termasuk keluarga yang berdepan tekanan kos sara hidup.
“Program itu amat bermakna dan sangat dekat dengan rakyat kerana turun ke akar umbi bagi menyantuni keluarga yang benar-benar memerlukan bantuan," katanya.
Beliau turut menyeru pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat swasta bersama-sama membantu kerajaan menangani isu sosial dan kebajikan masyarakat.
-- BERNAMA