BISNES
DEFA, ATIGA, APG antara langkah pengurangan halangan dalam perdagangan Intra-ASEAN

Tengku Zafrul berkata, dengan pemeteraian DEFA, yang dijangka tahun ini, ia menyediakan peluang kepada syarikat kecil dan sederhana untuk terlibat dalam sektor eksport.
KUALA LUMPUR: Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA), dan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA), dan Grid Kuasa ASEAN (APG) dikenal pasti sebagai antara langkah untuk mengurangkan halangan bukan tarif, serta menyuburkan lagi perdagangan dalam kalangan negara serantau.
Ringkasan AI
- Perjanjian DEFA, ATIGA dan APG dikenal pasti sebagai langkah utama untuk mengurangkan halangan bukan tarif dan menggalakkan perdagangan serta integrasi tenaga dalam kalangan negara ASEAN.
- Malaysia menekankan pendekatan berperingkat dalam pelaksanaan dasar ekonomi serantau, mengambil kira perbezaan tahap pembangunan negara anggota dan menyokong kemasukan Timor-Leste.
- ASEAN dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar dunia menjelang 2030, dengan pasaran besar, kestabilan serantau dan prinsip neutraliti yang menarik pelaburan serta menyokong pertumbuhan mampan.
“Pertamanya kita lihat kepada 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) yang telah diumumkan sebelum ini, dan salah satu daripadanya ialah meningkatkan perdagangan di dalam ASEAN. Salah satu contoh ialah melalui DEFA, yang akan meningkatkan penyertaan syarikat kecil seperti PKS dan PMKS, selain meningkatkan akses kepada pasaran baharu melalui digitalisasi atau e-perusahaan.
“Keduanya kita telah memuktamadkan ATIGA, dan kita akan tandatangani perjanjian ini dalam pertemuan bersama pemimpin ASEAN pada Oktober, dan pada masa yang sama kita bincang tentang meningkatkan integrasi dalam tenaga baharu melalui APG.
“Jadi ini adalah antara perkara yang sedang kita lakukan, yang kita harap dapat mengurangkan halangan dalam perdagangan serantau, sama ada tarif atau bukan tarif,” katanya lagi.
Tengku Zafrul berkata demikian kepada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Sosialisasi Serantau Pelan Strategik Komuniti ASEAN (AEC) untuk Visi Komuniti ASEAN 2045 di ibu negara, pada Khamis.
Ditanya mengenai usaha Malaysia sebagai pengerusi ASEAN untuk memastikan pembangunan seimbang dalam kalangan negara serantau, Tengku Zafrul berkata memang ada perbezaan yang agak ketara dari sudut Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara tertentu.
“Jadi kita perlu mengambil kira hakikat bahawa sesetengah negara mungkin belum bersedia untuk meliberalisasikan dasar mereka sepenuhnya. Mereka perlu melindungi sensitiviti domestik masing-masing. Di sinilah prinsip keutamaan dan neutraliti ASEAN memainkan peranan yang sangat penting.
“Oleh itu, kita melaksanakannya secara berperingkat. Malah, ini merupakan peningkatan (ATIGA) kali ketiga. Maka, kita memberikan garis masa peralihan yang berbeza kepada setiap negara. Komitmen juga berbeza.
“Begitu juga, kita memahami situasi Timor-Leste. Kita mahu menyokong kemasukan mereka. Sudah tentu, mereka berada di tahap yang berbeza. Jika kita mahu mereka menandatangani semua perkara sekali gus, mereka tidak akan menjadi ahli,” katanya lagi.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau berkata, ASEAN mesti menyesuaikan semula kerangka integrasi ekonomi pasca-2025, kerana landskap ekonomi global yang mencabar, menuntut kecekapan berbanding pertumbuhan agresif, dan daya tahan berbanding peluasan radikal.
Tengku Zafrul berkata, tindak balas kolektif Negara-Negara Anggota ASEAN mestilah tenang, tersusun dan terancang.
Sehubungan itu, sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia telah menganjurkan pelbagai sesi libat urus bersama Menteri-Menteri Ekonomi dan Rakan Dialog untuk merangka pendekatan yang diselaraskan bagi terus membentuk hubungan luar ASEAN.
“Penyelarasan inilah yang telah menyaksikan ASEAN berkembang secara konsisten sepanjang dekad lalu, dengan purata pertumbuhan tahunan sebanyak 4.4 peratus. ASEAN mempunyai pasaran seramai 680 juta orang, sumber semula jadi dan bakat muda.
“Digabungkan dengan prinsip neutraliti dan keutamaan, ASEAN berada dalam kedudukan yang baik untuk memainkan peranan lebih besar dalam rantaian bekalan global, memacu perdagangan dunia dan menarik lebih banyak pelaburan,” katanya lagi.
Tengku Zafrul berkata, ASEAN menawarkan persekitaran yang stabil dan boleh dijangka untuk pelbagai perniagaan berkembang maju, ciri-ciri yang amat diperlukan oleh perniagaan dan pelabur, namun sukar untuk ditiru oleh rantau lain.
Tambahnya lagi, ciri-ciri tersebut bakal melonjak ASEAN menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia dengan nilai KDNK AS$4.5 trilion menjelang 2030.
“Asas kukuh ASEAN ini meyakinkan kita bahawa walaupun dunia mungkin berdepan tekanan akibat ketegangan geopolitik yang semakin memuncak, ASEAN akan terus berusaha dan berkembang maju, hasil daripada pelengkap ekonomi dan rantaian bekalan, serta semangat keterangkuman dan kelestarian,” katanya lagi.

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami