BISNES
Dilema gas negara: Kuasa negeri atau kelangsungan nasional?

Sebagai jalan tengah, Jamil mencadangkan pendekatan pengagregatan bersama yang boleh memenuhi aspirasi Sarawak tanpa menjejaskan kepentingan nasional. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tuntutan kerajaan Sarawak agar syarikat minyak dan gas negeri itu, PETROS, mengambil alih peranan sebagai pengagregat tunggal gas daripada PETRONAS berpotensi mengganggu kestabilan sistem tenaga negara, menurut penganalisis industri.
Penganalisis minyak dan gas, Jamil Ghani, memberi amaran bahawa langkah tersebut membawa risiko besar terhadap kelangsungan PETRONAS dan keseluruhan rantaian bekalan tenaga Malaysia.
“Peranan pengagregat sangat berkuasa. “Ia membeli gas daripada pengeluar huluan dan menjual semula kepada pengguna hiliran. Ini bermakna ia menentukan jumlah gas untuk kegunaan industri domestik dan eksport dalam bentuk LNG,” katanya sebagai memetik laporan FMT.
Menurut Jamil, jika PETROS diberi kuasa sebagai pengagregat tunggal, ia boleh membeli gas pada harga rendah di peringkat huluan dan menjualnya semula pada harga lebih tinggi di hiliran.Keadaan ini boleh menyebabkan PETRONAS menanggung kerugian besar, terutamanya kerana syarikat itu terikat dengan komitmen eksport jangka panjang pada harga tetap.
“PETRONAS mungkin hilang keupayaan untuk menyelia keseluruhan rantaian bekalan. Tanpa kawalan ini, kelangsungan sistem tenaga negara boleh terjejas,” tegasnya.
Walaupun Sarawak mempunyai kepentingan dalam operasi hiliran LNG bersama PETRONAS, Jamil menekankan bahawa perubahan struktur pengagregatan boleh mencetuskan ketidakpastian dalam sistem yang selama ini stabil.
Katanya, Sarawak mempunyai alasan kukuh untuk menuntut peranan lebih besar.
Menurut Jamil, 60 peratus daripada rizab gas Malaysia terletak berhampiran negeri itu, namun hanya sebahagian kecil digunakan untuk pembangunan domestik.
“Sekitar 94 peratus gas dieksport sebagai LNG, meninggalkan hanya 6 peratus untuk kegunaan Sarawak.
“Tanpa kuasa pengagregatan, negeri itu bimbang ketidakseimbangan ini akan berterusan,” jelasnya.
Sebagai respons kepada tuntutan tersebut, Putrajaya dan PETRONAS telah bersetuju untuk meningkatkan peruntukan gas kepada Sarawak kepada 1.2 bilion kaki padu sehari, berbanding 450 juta sebelum ini.
“Jumlah ini cukup untuk menyokong rancangan pembangunan negeri.
“Namun, permintaan sebenar daripada industri Sarawak masih bergantung kepada pelaksanaan hala tuju pembangunan gas negeri itu,” kata Jamil.
Beliau turut memberi amaran bahawa pengalihan gas tanpa permintaan jelas atau perjanjian jual beli boleh menyebabkan lebihan bekalan dan gangguan eksport, sekali gus menjejaskan hasil negara.
Sebagai jalan tengah, Jamil mencadangkan pendekatan pengagregatan bersama yang boleh memenuhi aspirasi Sarawak tanpa menjejaskan kepentingan nasional.
“PETROS boleh menjadi pengagregat untuk saluran domestik, manakala PETRONAS kekal sebagai pengagregat untuk eksport ke pasaran utama seperti Jepun, Korea, Taiwan dan China,” katanya.
Akhirnya, isu ini berkisar kepada perimbangan antara autonomi negeri dan tanggungjawab nasional.
“Bagi Sarawak, ini soal hak dan pulangan daripada sumber asli. Bagi Putrajaya, ia soal kestabilan fiskal dan kelangsungan PETRONAS sebagai penyumbang utama hasil negara,” kata Jamil.
Beliau menzahir harapan agar kebuntuan ini dapat diubah menjadi peluang untuk membina masa depan yang menyatukan aspirasi negeri dan kestabilan negara dalam satu kerangka yang saling melengkapi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami